Tuesday, October 25, 2011

"Rasulullah s.a.w Sentiasa Bersama Kita"


Allah menyebutkan perihal kewujudan Nabi Muhammad di tengah-tengah kaum muslimin dalam surah at-Taubah, ayat 128 seperti berikut;

"Datang kepada kamu seorang rasul dari kaum kamu sendiri. Dia merasa penderitaan kamu dan menginginkan keimanan serta keselamatan bagi kamu. Dia belas kasihan lagi penyayang kepada orang mukmin."

Dalam berdakwah, Nabi Muhammad memberi perhatian kepada kaum yang lemah. Nabi membebaskan, memperjuangkan dan menemani serta hidup diantara kaum yang tertindas seperti orang yang dianiaya, dizalimi dan orang miskin. Oleh sebab itulah, nabi mendapat gelaran ' Abu Masakin' yang bererti 'bapa orang-orang miskin'.

Apabila ada orang bertanya kepadanya dimana beliau selalu berada, nabi menjawab, "Carilah aku di antara orang-orang yang lemah diantara kamu. Carilah aku ditengah-tengah kelompok kecil diantara kamu." Nabi sering berdoa kepada Allah dengan doa berikut,"Ya Allah, hidupkanlah aku sebagai orang miskin, matikan aku sebagai orang miskin dan bangkitkan aku pada hari kiamat juga bersama-sama orang miskin."

Perjuangan nabi ditengah-tengah masyarakat semakin lama semakin mendapat perhatian dan simpati masyarakat secara meluas. Namanya yang harum bukan hanya dirasakan oleh kaum muslimin, tetapi juga oleh para musuhnya. Ini kerana Nabi Muhammad memperjuangkan nasib semua manusia secara universal.

Peranan Nabi Muhammad dapat dibahagikan sebagai nabi dan rasul, sebagai hakim, sebagai mufti yang memberi fatwa, sebagai pemimpin masyarakat dan Muhammad dalamkehidupan peribadinya. Sewaktu beliau berbicara dalam kedudukannya sebagai Rasulullah, perkataannya pasti benar kerana Allah membimbingnya secara langsung.

Salah satu faktor kejayaan Nabi Muhammad adalah kekuatannya memegang akidah dan mampu menolak sebarang godaan. Beliau berkata."Demi Allah, seandainya mereka meletakkan matahari ditangan kananku dan bulan ditangan kiriku supaya aku meninggalkan agama ini, aku tidak akan meninggalkannya."

Dengan kekuatan itu, nabi membimbing para sahabat dan kaum muslimin sehingga mereka memiliki empat kebiasaan yang positif iaitu membaca Al-Quran, berdakwah, berbincang perihal ilmu dan berdagang. Pada waktu yang sama, mereka melaksanakan ibadah dengan baik misalnya bersilaturrahim, berpuasa sunat, mengerjakan solat malam dan sebagainya.

Allah melantik Nabi Muhammad sebagai 'ejen rahmatan lil 'alamin' bagi seluruh umat manusia. Nabi Muhammad merupakan nabi dan rasul antarabangsa kerana risalahnya bersifat universal dan global, ditujukan kepada seluruh manusia, semua bangsa dan bahasa sehingga hujung zaman. Sesungguhnya, risalah atau ajaran Nabi Muhammad itu sempurna bagi memimpin manusia dalam mencapai kebahagiaan didunia dan akhirat.

Wednesday, October 12, 2011

"Wahai Hati, engkaulah Segala Puncanya"


Assalamualaikum,

Alhamdulillah, entry kali ini menceritakan sedikit tentang satu benda yang manusia sekarang tidak kisah dan malah tidak ambil tahu pun pasal benda ini. mereka merasakan mereka aman dengan tikahlaku mereka. benda ini selalu diperkatakan dan benda ini adalah "HATI". 

Saya teringat pada sabda Rasulullah s.a.w yang berbunyi; "Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia ada segumpal daging. Apabila ia baik, maka baiklah seluruh jasad tersebut. Namun apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad tersebut. ketahuilah bahawa segumpal daging itu adalah hati" -hadis riwayat Muslim.

Bedasarkan hadis tersebut, hati merupakan organ penting yang mampu mengawal perilaku seseorang. jika zahirnya kurang maksudnya dalamannya juga kurang. kita cuba renungkan ayat ini;

"Alah orang pakai tudung bukannya baik sangat, busuk hati gak. kami tak pakai tudung tapi hati kami baik"

Kita sudah biasa dengan jawapan ini, bila kita menegur dan inilah jawapannya. bukan niat untuk mengata atau mengutuk tetapi ini sudah jelas menunjukkan hati mereka ini masih ada titik hitam. jika masih berterusan makin bertambahlah bintik-bintik hitam ini lalu gelap hati mereka untuk menerima hidayah Allah.

Dari Ahmad Ath-Thabrani dalam satu riwayatnya, Rasulullah s.a.w telah membahagikan hati itu kepada 4 jenis iaitu;

1. Hati Hidup dan Sempurna atau selamat Sejahtera – ialah hati yang tenang diselaputi dengan iman dan dipenuhi dengan cahaya.Yakin dan Ikhlas serta dipenuhi dengan cinta kepada Allah SWT. Mencintai apa sahaja yang Allah Cintai serta Redha kepada Allah SWT.

2. Hati Mati- ialah hati yang dipenuhi dengan kegelapan dan bersifat ganas, seperti rumah yang ditinggalkan dan didiami oleh syaitan, dipenuhi dengan sifat munafiq, kafir dan maksiat. hatinya adalah seperti hati orang kafir.

3. Hati Sakit- ialah hati yang becampur sifat iman dan munafik. Imannya sentiasa berubah, kadang-kadang menjadi munafiq dan kadang-kadang berminat kepada Islam, Hatinya sentiasa dibelai dengan nafsu, bergelombang dengan fitnah dan tergoda dengan syaitan, ia adalah hati yang terlalu lemah iman.

4. Hati yang Kosong- apa jua diisi ia tidak membawa apa-apa faedah,tidak mengenal kebaikan dan tidak mengenal kejahatan, apa yang menjadi matlamatnya adalah nafsu semata-mata, inilah hati orang munafiq.

Kebiasaan hati manusia ini cenderong kepada hati yang ketiga iaitu hati sakit. hati ini merupakan hati yang sifatnya bercampur aduk ciri-ciri orang beriman dan orang munafik. sebagai contoh, seorang pemuda yang melakukan kebaikan kerana Allah dan menyokong program maksiat kerana ikutan nafsu.

Jika kita tergolong sebagai manusia yang mempunyai hati sebegini haruslah berwaspada. sebab apa bila tiba saat ajal menjemput dimanakan sifat hati kita ketika itu, beriman ataupun munafik. jika munafik, sia-sialah kehidupan di dunia ini ataupun sebaliknya.
Sentiasalah, merubat hati-hati kita dengan amalan wajib dan sunat, selalu berzikir. kerana apa, bila ada 2 pihak, mesti ada yang kalah dan menang. biarlah iman kita menang semoga bila sampai waktunya nanti iman ini akan menyelamatkan kita dan mati dalam keadaan beriman kepada Allah s.w.t.


Rasulullah sendiri sering berdoa: “Wahai Allah yang boleh membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas jalan agama-Mu”. Baginda juga memohon Allah memelihara hala tuju perasaannya supaya tidak menyimpang dari hala tuju yang ditentukan Allah menuju kepada yang tertinggi.
   
“Wahai Allah yang menguruskan hati, uruskanlah hati kami di atas ketaatan kepada-Mu”. 

 Rasulullah juga berdoa pada siang dan malam di dalam zikirnya: “Wahai Allah, sesungguhnya saya berlindung kepada-Mu daripada kekufuran dan kefakiran”.

InsyaAllah,

setakat itu sahaja, yang baik itu dari Allah, yang kurang dari kelemahan diri ini. tulisan ini bukan sekadar memberi nasihat pada pembaca malah untuk diri ini juga. semoga dengan apa yang sedikit ini memberi manfaat..

wallahua'lam.

Sunday, October 9, 2011

"Ku Rasa Jatuh Cinta PadaMU"


Assalamualaikum,

Muda semakin menjauhi kita, tua datang menemani hidup-hidup kita, sudahkah kita memenuhi bekal atau bekas yang kita ada dengan amalan ataupun dibiarkan kosong terbuka malah dipenihi dengan habuk-habuk. peringatan untuk saya dan juga teman-teman pembaca, biasalah hendak memulakan sesuatu yang baik sangat sukar untuk kita tetapi biarlah kita ini menjadi orang yang selalu berusaha untuk membuat kebaikan. itu lebih berguna daripada orang yang duduk saja tanpa sesuatu.

Apa yang saya ingin kongsikan kali ini, mungkin kita tidak tahu ataupun tidak perasan, kita sebenarnya menumpang kasih sayang orang dan itu penyebab Allah menangguh hukuman terhadap dosa-dosa kita. kita mengaku kita ini islam tetapi kita tidak menghayati apa erti itu islam, apa yang ada dalam islam ini, yang mana patut diikuti dan yang mana harus ditegah. islam ini mudah, mengajak melalukan kebaikan, mencegah kemungkara, melakukan apa yang disuruh, menegah apa yang dilarang.

Dalam kisah ini menceritakan kasih sayang Allah kepada kekasihnya Muhammad s.a.w, dan kasih ini juga menyebabkan Allah sayang pada umat Nabi s.a.w. mari kita sama mencari ikhtibar dari kisah ini;

Allah SWT selesai menciptakan Jibrail as dengan bentuk yang cantik, dan Allah menciptakan pula baginya 600 sayap yang panjang , sayap itu antara timur dan barat (ada pendapat lain menyatakan 124, 000 sayap). Setelah itu Jibrail as memandang dirinya sendiri dan berkata:

"Wahai Tuhanku, adakah engkau menciptakan makhluk yang lebih baik daripada aku?."

Lalu Allah swt berfirman yang bermaksud.. "Tidak"

Kemudian Jibrail as berdiri serta solat dua rakaat kerana syukur kepada Allah swt. dan tiap-tiap rakaat itu lamanya 20,000 tahun.

Setelah selesai Jibrail as solat, maka Allah SWT berfirman yang bermaksud. "Wahai Jibrail, kamu telah menyembah aku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh, dan tidak ada seorang pun yang menyembah kepadaku seperti ibadat kamu, akan tetapi di akhir zaman nanti akan datang seorang nabi yang mulia yang paling aku cintai, namanya Muhammad. ' Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa, sekiranya mereka itu mengerjakan solat dua rakaat yang hanya sebentar sahaja, dan mereka dalam keadaan lupa serta serba kurang, fikiran mereka melayang bermacam-macam dan dosa mereka pun besar juga. Maka demi kemuliaannKu dan ketinggianKu, sesungguhnya solat mereka itu aku lebih sukai dari solatmu itu. Kerana mereka mengerjakan solat atas perintahKu, sedangkan kamu mengerjakan solat bukan atas perintahKu."

Kemudian Jibrail as berkata: "Ya Tuhanku, apakah yang Engkau hadiahkan kepada mereka sebagai imbalan ibadat mereka?"

Lalu Allah berfirman yang bermaksud. "Ya Jibrail, akan Aku berikan syurga Ma'waa sebagai tempat tinggal..."
Kemudian Jibrail as meminta izin kepada Allah untuk melihat syura Ma'waa.

Setelah Jibrail as mendapat izin dari Allah SWT maka pergilah Jibrail a.s dengan mengembangkan sayapnya dan terbang, setiap dia mengembangkan dua sayapnya dia boleh menempuh jarak perjalanan 3000 tahun, terbanglah malaikat jibrail a.s selama 300 tahun sehingga ia merasa letih dan lemah dan akhirnya dia turun singgah berteduh di bawah bayangan sebuah pohon dan dia sujud kepada Allah SWT lalu ia berkata dalam sujud:

"Ya Tuhanku apakah sudah aku menempuh jarak perjalanan setengahnya, atau sepertiganya, atau seperempatnya?"

Kemudian Allah swt berfirman yang bermaksud. "Wahai Jibrail, kalau kamu dapat terbang selama 3000 tahun dan meskipun aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yang telah kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari beberapa perpuluhan yang telah kuberikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan....."

Marilah sama-sama kita fikirkan dan berusaha lakukan... Sesungguhnya Allah S.W.T telah menyembunyikan enam perkara iaitu :

* Allah S.W.T telah menyembunyikan redha-Nya dalam taat.

* Allah S.W.T telah menyembunyikan murka-Nya di dalam maksiat.

* Allah S.W.T telah menyembunyikan nama-Nya yang Maha Agung di dalam Al-Quran.

* Allah S.W.T telah menyembunyikan Lailatul Qadar di dalam bulan Ramadhan.

* Allah S.W.T telah menyembunyikan solat yang paling utama di dalam solat (yang lima waktu).

* Allah S.W.T telah menyembunyikan hari kiamat (hari kejadiannya) di dalam semua hari.


Semoga kita mendapat berkat daripada ilmu ini. Wallahualam

"Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila ia mengkehendaki sesuatu, hanyalah ia berfirman kepada (hakikat)benda itu: "Jadilah Engkau!", maka ia terus menjadi"-ayat 82, surah Yassin.

Thursday, October 6, 2011

"Pewarna Rambut"


Assalamualaikum,
Ramai dikalangan kita masih tidak pasti dengan mewarnakan rambut ni, bila ditegur "haram tidak boleh dye rambut", dibalas pulak "kan ada logo halal tu". kenapa kita tidak paham dengan perkataan halal dan logo halal ini???

Perkataan halal pada kebiasaanya adalah digunakan untuk barang makanan termasuklah sumber pendapatan sebagaimana yang biasa disebut iaitu rezeki yang halal. Adapun barang gunaan umpamanya pewarna rambut, minyak rambut dan barang-barang kosmetik, penggunaan perkataan halal itu tidak tepat. Jika tujuan penamaan label HALAL itu adalah untuk membolehkan orang Islam memakai atau menggunakannya, perkataan yang tepat ialah suci bererti tidak najis kerana kita dilarang menggunakan atau memakai barang-barang yang najis. Inilah pemakaian atau penggunaan yang patut diketahui oleh orang-orang Islam.

Rambut merupakan bahagian yang wajib dibasuh ketika mandi junub atau mengangkat hadas kecil (wudhu). Ini bererti air yang bersih mesti sampai ke semua bahagian rambut termasuklah kulit kepala ketika mandi junub itu atau sebahagiannya ketika berwudhu.

Jika ada sesuatu yang menghalang air untuk sampai membasahi rambut, maka tidaklah sah mandi hadas besar dan wudhu berkenaan. Sehubungan dengan itu ibadat-ibadat yang dilakukan seperti sembahyang menjadi tidak sah kerana hadas atau wudhunya itu tidak terangkat.

Dari itu sekiranya pewarna rambut itu sifatnya melekat atau melapis rambut, sekalipun ianya suci maka ia sudah pasti menghalang air untuk sampai ke rambut. Jika ini terjadi, maka mandi junub umpamanya dalam keadaan rambut diwarnakan dengan bahan
tersebut adalah tidak sah dan ini akan menyebabkan ibadahnya seperti sembahyang tidak sah kerana hadasnya tidak terangkat.

Berbeza halnya, jika pewarna rambut itu tidak melekat di atas rambut seperti ia sifatnya meresap sepertimana meresapnya inai (pacar) pada jari dan kuku. Ini tiada menghalang air daripada sampai ke bahagian yang wajib dibasuh.

Pada suatu masa dahulu pernah ditanya kepada Jabatan ini tentang pewarna rambut ‘dye’ yang sifatnya menghalang air sampai ke rambut. Tentulah pewarna ‘dye’ itu tidak boleh dipakai sekalipun ia suci atau menurut istilah setengah negara sebagai HALAL.

Selain daripada memerhatikan kepada aspek atau jenis pewarna yang digunakan untuk mewarnakan rambut itu sebagaimana yang telah dibincangkan di atas serta kesan pemakaiannya yang boleh menyebabkan tidak sah ibadat yang dilakukan sekiranya ibadat tersebut disyaratkan melakukannya dalam keadaan thahârah, adalah penting untuk kita menilai sejauh manakah pandangan syara‘ tentang hukum mewarnakan rambut ini.

Mewarna rambut itu tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya dengan alasan bahawa pewarna yang digunakan itu adalah halal ataupun suci.

Di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
Bahawasanya orang Yahudi dan Nasrani tidak mewarnakan (uban mereka) maka hendaklah kamu tidak menyerupai mereka.
(Hadits riwayat Muslim)

Ini diperkuatkan lagi dengan peristiwa ketika Abu Quhafah (ayah kepada Sayidina Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu) dibawa ke hadapan Baginda pada hari pembukaan Makkah yang mana ketika itu rambut dan junggutnya dipenuhi dengan uban, maka Baginda bersabda:

Maksudnya:
Tukarkan (warna uban) ini dengan sesuatu dan jauhilah daripada (menggunakan) pewarna hitam.
(Hadits riwayat Muslim)

Berdasarkan hadits di atas para ulama berpendapat bahawa mewarnakan uban yang tumbuh pada rambut kepala adalah sunat sama ada lelaki atau perempuan. Warna yang disunatkan untuk digunakan pula ialah kuning atau merah kecuali warna hitam, kerana haram menggunakan pewarna hitam menurut pendapat al-ashah.

Walau bagaimanapun harus mewarnakan uban itu dengan pewarna hitam sekiranya bertujuan untuk menakutkan pihak musuh ketika berjihad. Sebagaimana yang dijelaskan oleh hadits di atas bahawa tujuan mewarnakan uban itu adalah untuk membezakan kebiasaan kaum Yahudi dan Nashrani yang mana mereka itu meninggalkan perbuatan mewarnakan uban.

Sementara itu pula rambut yang tidak beruban adalah sayugianya ianya dikekalkan atau dibiarkan sepertimana aslinya. Ia tidak perlu diwarnakan kecuali jika ada sesuatu yang memerlukan ianya diwarnakan umpamanya untuk tujuan perubatan.

Akan tetapi jika perbuatan mewarnakan itu dengan bentuk atau gaya sepertimana fesyen dan penampilan orang-orang kafir yang tidak sesuai dengan akhlak Islam sebagaimana yang kita saksikan yang menjadi ikutan oleh anak-anak Islam, maka perbuatan itu adalah haram sekalipun pewarna yang dipakai itu suci. Dengan melakukan perbuatan itu bererti mengikut budaya orang bukan Islam. Ini adalah perkara yang dilarang oleh hukum syara‘ kerana larangan menyerupai mereka disebut oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan sabda Baginda:


Maksudnya:
Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia adalah daripada golongan mereka.
(Hadits riwayat Abu Daud)

Menyerupai mereka dari sudut penampilan zahiriah sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu al-Qaiyim al-Jawjiyah merupakan satu jalan ke arah menyerupai mereka dari segi maksud dan perbuatan. Ianya juga sebenarnya timbul atas dasar suka dan menganggap ianya adalah satu perkara yang baik. Apabila seseorang itu menganggapnya satu kebaikan maka cenderunglah dirinya untuk melakukannya. Apabila dia sudah melakukannya buat pertama kali nescaya akan diulanginya untuk kali kedua dan seterusnya sehingga menjadi adat atau kebiasaan kepada dirinya. Dengan itu akan lenyaplah nilai-nilai Islam di dalam dirinya itu.

Dari itu perbuatan menyerupai orang-orang kafir itu adalah sangat ditegah sekalipun tanpa tujuan meniru perbuatan mereka itu, demi menjaga iman dan aqidah umat Islam daripada terjebak ke arah perkara yang membawa kufur. Wal‘iyâdzubillah.

Selain daripada itu mewarna rambut khususnya bagi wanita sudah tentu akan membawa kepada pendedahan aurat, kerana tujuan mewarnakan itu sendiri adalah untuk ditonton dan disaksikan. Jika yang menyaksikan itu mahramnya, maka tidaklah haram, tetapi jika bukan, yakni lelaki ajnabiy (asing), maka perbuatan mendedahkan aurat di hadapan orang bukan mahram itu hukumnya adalah haram.

Berbalik kepada tanda atau logo halal pada barang gunaan, ia bukanlah suatu jaminan bahawa benda itu boleh dipakai, kerana penipuan boleh saja berlaku, bahkan telah pun banyak berlaku, di mana pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan label halal semata-mata untuk mendapatkan kepercayaan pengguna.

Jika sifat pewarna rambut itu menghalang air sampai ke rambut, maka ia tidak boleh dipakai sekalipun ia suci. Walaupun ada tertera label halal atau suci, namun apa yang lebih selamat ialah meninggalkannya demi menyelamatkan diri daripada syubhah. Lagipun tidak jelas dari segi keperluan memakainya.

Menjauhi perkara syubhah atau samar-samar itu merupakan tuntutan syara‘. Dengan menjauhinya akan terpeliharalah agama.

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya:
Tinggalkanlah barang yang meragukan engkau kepada apa yang tidak meragukan engkau
. (Hadits riwayat at-Tirmidzi dan an-Nasa’i)

Sabda Baginda lagi:

Maksudnya:
Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram juga jelas (terang) dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia, maka sesiapa memelihara (dirinya daripada) segala yang kesamaran,sesungguhnya dia telah memelihara agama dan kehormatannya. Dan sesiapa yang jatuh ke dalam perkara kesamaran, jatuhlah dia ke dalam yang haram, seperti seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternakannya) makan di dalamnya. Ketahuilah bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan. Ketahuilah bahawa larangan Allah ialah segala yang diharamkanNya. Ketahuilah, bahawa di dalam badan itu ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah seluruh badan, dan apabila ia rosak, rosaklah semuanya, ketahuilah, itulah dia hati.

(Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

WaLlahua'lam 



Rujuk : http://www.mufti.gov.bn/fatwa/Fatwa%20pilihan/2011/Bil%206-2011%20-%20Fatwa%2022%202001%20-%20MEWARNA%20RAMB
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...