Friday, January 21, 2011

7 GOLONGAN YG MENDAPAT NAUNGAN ‘ARASY ALLAH SWT


Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Tujuh golongan manusia yang dilindungi Allah di bawah bayangan-Nya (di akhirat nanti), pada hari itu tidak ada sebarang teduhan selain bayangan arasy-Nya. Mereka itu ialah (1) pemimpin yang adil; (2) pemuda yang terdidik (dibesarkan) dalam ibadat kebaktian kepada Allah; (3) Orang yang hatinya sentiasa berpaut rapat dengan masjid; (4) dua orang yang berkasih sayang kerana (agama) Allah, bertemu dan berpisah untuk keredaan-Nya; (5) lelaki yang dipujuk wanita cantik lagi hartawan (bagi memenuhi nafsunya) tetapi dia menolak dan berkata aku takutkan Allah; (6) orang yang berderma secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak sedar apa yang didermakan oleh tangan kanannya; (7) dan mereka yang sentiasa menyebut (mengingati) Allah dimasa keseorangan (kesunyian), maka berlinanganlah air matanya.” ”(Riwayat Syaikhan)

Huraian

Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w menceritakan beberapa golongan manusia yang diberi layanan istimewa pada hari kiamat nanti. Mereka berhak mendapat naungan Allah dan selamat daripada bahya dan huru hara hari itu, sesuai dengan keistimewaan masing-masing.
Mereka ialah:
1)     Pemerintah yang adil dalam kerajaannya.
2)     Pemuda yang tidak pernah terlibat dengan kepincangan budaya masyarakatnya.
3)     Orang yang sentiasa bergantungan hatinya dengan masjid.
4)     Orang yang berkasih mesra untuk keredaan Allah, selalu bertemu dan berpisah untuk tujuan tersebut.
5)     Orang yang dapat menyelamatkan dirinya daripada godaan nafsu jahat wanita cantik menawan lagi hartawan dan bangsawan kerana takutkan Allah s.w.t.
6)     Orang yang tidak suka menghebohkan kebaikannya, dia berderma ikhlas kerana Allah, sehingga digambarkan tangan kirinya tidak sedar derma yang dihulurkan oleh tangan kanannya.
7)     Orang yang sentiasa berjinak-jinak dengan mengingati Tuhannya, lalu berlinangan air matanya mengenangkan kehinaan diri dan kesalahannya berbanding kebesaran Tuhannya.

Pengajaran

1) Di akhirat nanti terdapat banyak keistimewaan yang akan ditentukan Allah kepada golongan tertentu.
2)  Antaranya ada bayangan naungan arasy-Nya yang didapati oleh mereka yang tertentu, selaras amalan masing-masing.
3) Pada hari tersebut manusia lain semuanya berada di bawah panahan terik cahaya matahari.
4) Jawatan pemerintah yang dapat dilaksanakan dengan baik dan adil.
5) Pendidikan yang terkawal dan teratur dalam kehidupan seseorang.
6) Pengawalan hati dan jiwa tertarik dengan tempat kebaikan seperti rumah Allah.
7)  Kekentalan nafsu tidak terpengaruh dengan  sebarang godaan.
8)  Keikhlasan hatinya  lebih diutamakan, kebaikan yang dilakukan untuk   demi rasa kehambaan terhadap Allah s.w.t.
9) Hatinya sentiasa menangis kerana mengingati Allah.

Kesimpulan

Alangkah beruntungnya mereka yang dapat menggabungkan dirinya dalam mana–mana tujuh golongan yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w.
Mudah-mudahan kita berada di dalam golongan tersebut dan mendapat perlindungan naungan bayangan arasy Allah di akhirat nanti.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...