Monday, December 12, 2011

"Akhlak Dalam Surah An-Nisa ayat 58 - 62 "


Dalam Surah An-nisa' ayat 58-59 Allah taala telah memerintahkan kaum muslimin supaya melakukan amalan-amalan yang baik iaitu kewajipan menunaikan amanah dan menetapkan perkara diantara manusia dengan cara yang adil.Hal ini menerangkan mengenai sistem asasi pemerintahan berdasarkan syariat Allah taala.Di samping itu,Allah mewajibkan kepada mereka supaya taat kepada Allah,rasul dan ulul amri.Manakala taat kepada Ulul Amri berlandaskan batas-batas yang telah ditetapkan oleh Allah.

TANGGUNGJAWAB MENUNAIKAN AMANAH

58. “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menunaikan segala amanah (dan tanggungjawab) kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu mengadili di antara manusia, maka hendaklah kamu mengadili mereka dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi sebaik-baik pengajaran kepada kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan Maha Melihat.” 

Perintah Kewajipan Menunaikan tanggungjawab Amanah kepada orang yang berhak:

Kaum muslimin dipertanggungjawabkan untuk menunaikan amanah-amanah dan tanggungjawab kepada orang-orang yang berhak menerimanya. Amanah adalah satu bentuk kepercayaan kepada manusia dan diperintahkan untuk dikerjakan. Dan amanah itu mempunyai pelbagai bentuk. Amanah kepada Allah, amanah kepada orang lain, amanah bermuamalah dengan orang lain, amanah terhadap pemerintah dan terhadap rakyat, amanah menjaga dan mendidik kanak-kanak, amanah menjaga kehormatan kelompok muslimin dan sebagainya. 

Allah Taala telah meninggikan kedudukan sifat amanah berdasarkan hadis:

Apabila engkau menghilangkan sifat amanah, maka tunggulah hari pembalasan. Bagaimana hilangnya sifat amanah tersebut? Rasulullah menjawab : Apabila perkara yang diamanahkan itu diletakkan bukan pada orang yang berhak, maka tunggulah hari pembalasan.

PEMIMPIN HENDAKLAH BERLAKU ADIL KEPADA RAKYATNYA

Keadilan merupakan satu aspek utama dalam membina satu pemerintahan yang sistematik. keadilan di sini bermaksud pemimpin menjatuhkan hukuman yang sesuai dengan yang telah disyariatkan oleh Allah melalui RasulNya. 

Keadilan itu merangkumi kepada seluruh manusia bukan hanya kepada orang-orang Islam sahaja dan bukan pula keadilan kepada ahlul kitab sahaja malah keadilan adalah hak setiap manusia dengan sikapnya sebagai 'insan' kerana sifat ini sahaja yang mewujudkan hak keadilan dalam sistem hidup Rabbani. Inilah asas kehakiman di dalam Islam sebagaimana amanah - dengan segala pengertiannya - menjadi asas kehidupan di dalam kehidupan Islam.

Perintah menunaikan amanah dan bersikap adil merupakan peringatan dan bimbingan dari Allah Taala dan itulah sebaik-baik pengajaran dan bimbingan. Sesungguhnya Allah maha mengetahui adakah kamu menjalankan tanggungjawab dengan adil dan Allah maha melihat adakah kamu menunaikan amanah.

KETAATAN TERHADAP PERATURAN ALLAH, RASUL SERTA ULUL AMRI

59. Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, Maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya

Peraturan yang tinggi adalah peraturan Allah Taala dan inilah yang wajib ditaati kemudian barulah taat kepada Rasul dan Ulul Amri. Hal ini menunjukkan orang-orang yang beriman wajib mentaati Allah kerana Allahlah yang memberi hak dan kuasa mengaturkan syariat manakala taat kepada Rasul pula merupakan perkara kedua kerana baginda membawa syariat dari Allah. Rasul berperanan menjelaskan perkara syariat kepada manusia. 
 
Seterusnya perintah Taat kepada Ulul Amri (Pemerintah). Ulil Amri mengikut pendapat ulama tafsir mempunyai dua golongan iaitu golongan pemerintah di negara Islam dan ulama. Ketaatan kepada ulil amri bukanlah satu ketaatan yang mutlak tetapi apa yang dimaksudkan di sini ialah ulil amri itu menjadi tempat rujukan ketika berselisih pendapat sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah dan ulul amri itu perlulah kembali kepada dua sumber yang utama iaitu Al-Quran dan Al-Sunnah sekiranya terdapat perselisihan dalam sesuatu masalah.

PENGAJARAN AYAT

1. Setiap manusia mahupun orang muslim ataupun bukan muslim hendaklah bersikap amanah dan bersikap adil 

2. Janganlah bersikap angkuh dimuka bumi ini dengan menyembah selain daripada Allah S.W.T

3. Hendaklah taat kepada pencipta kita iaitu Allah S.W.T. kerana kita adalah makhluk ciptaan-Nya 

4. Hendaklah taat kepada pemerintah iaitu ulil amri kerana mereka bertanggungjawab besar dalam menjaga kebajikan kita sebagai rakyatnya.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...