Friday, August 26, 2011

"Peringkat-Peringkat Isteri"


1. Isteri Siddiqin
Isteri yang tidak akan meminta apa-apa dari suaminya sekalipun yang perlu (dharuri). Apa yang disediakan suaminya, dia terima dengan penuh malu dan bersyukur. Kalau ada, adalah. Kalau tidak ada, dia bersabar. Tapi meminta tidak. Apatah lagi yang tidak perlu, kalau diberi pun dia tolak bahkan adakalanya yang perlu pun dia tolak dengan baik, dia lebih suka menolong suaminya. Itulah golongan yang bersifat orang yang Siddiqin. Golongan ini payah hendak dicari terutama di akhir zaman ini, macam hendak mencari belerang merah atau gagak putih. Ini adalah perempuan luar biasa.

2. Isteri Muqarrobin
Isteri yang tidak meminta dari suaminya kecuali yang perlu sahaja. Yang tidak perlu dia tidak akan memintanya bahkan kalau suaminya memberi yang tidak perlu dia tolak dengan baik. Tapi kalau yang diperlukan pun tidak ada, dia tetap sabar. Namaun dia tidak akan mendesak suaminya. Dia tetap bersabar dengan keadaan itu. Itulah golongan Muqarrobin. Golongan ini juga susah hendak dicari di zaman kebendaan ini, di zaman orang memburu dunia, di zaman orang memandang dunia adalah segala-galanya.

3. Isteri Solehin
Isteri yang meminta kepada suaminya yang perlu dan juga sekali-sekala meminta juga yang tidak perlu seperti ingin sedikit kehidupan yang selesa sama ada dari segi makan minum, tempat tinggal, kenderaan. Namun kalau suaminya tidak memberi, dia tetap sabar dan tidak pula menjadi masalah. Itulah dia golongan orang yang soleh.

4. Isteri Fasik
Isteri yang selalu sahaja meminta-minta bukan sahaja yang perlu, yang tidak perlu pun dia suka meminta-minta juga. Kalau diberi pun tidak pernah puas-puas, tidak pernah rasa cukup, sudah mewah pun tidak rasa cukup. Kalau tidak diberi menjadi masalah, dia merungut-rungut, marah-marah, sakit hati, merajuk hingga menjadi masalah dalam rumah tangga. Inilah dia golongan yang fasik. Isteri ini selalu sahaja derhaka dengan suami, apatah lagi dengan Tuhan.

Sikap, tindakannya, percakapannya selalu sahaja menyusahkan suaminya, membuat suaminya selalu serba salah dibuatnya. Berbagai-bagai kehendak diberi, berbagai-bagai kemahuannya terpaksa ditunaikan. Adakala pakaian terpaksa ditukar sebulan atau dua bulan sekali, asyik pergi shopping sahaja. Namun demikian tidak juga puas dan tidak juga merasa cukup. Macam-macam yang dia hendak. Akhirnya krisis rumahtangga tidak pernah berhenti, sentiasa bergolak, sentiasa bergelombang macam air laut yang tidak pernah berhenti-henti daripada bergelombang dan begelora. Lama-lama kelamaan bercerai juga. Kalau pun tidak bercerai kerana hendak menjaga air muka atau hendak menjaga nama baik atau tidak mahu anak porak peranda, tapi apalah ertinya rumahtangga yang begitu rupa. Dimanalah keindahannya lagi. Apalah bahagianya kalau gelombang dan gelora krisis tidak pernah rehat dan tenang. Apalah akan jadi kepada anak-anak melihat ibu bapa sentiasa macam kucing dengan anjing.

Semoga Allah menyatukan hati-hati kita, menjadikan kita saling mencintai karena Dia; sebagaimana dalam hadits yang diriwayatkan oleh Tirmidzi Rasululllah saw bersabda:

"Di sekitar Arsy ada menara-menara dari cahaya. Di dalamnya ada orang-orang yang pakaiannya dari cahaya dan wajah-wajah mereka bercahaya. Mereka bukan para nabi atau syuhada'. Para nabi dan syuhada' iri kepada mereka. Ketika ditanya para shahabat, Rasulullah menjawab, "Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai karena Allah, saling bersahabat karena Allah dan saling kunjung karena Allah."

Tuesday, August 23, 2011

"Kisah teladan: Uwais al-Qarni"



Nabi berpesan kepada Umar dan Ali :

“ Akan lahir di kalangan Tabiin seorang insan yang doanya sangat makbul. Namanya Uwais al-Qarni dan dia akan lahir di zaman kamu. ”

Kita telah mengenali siapa dia Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali iaitu orang-orang yang telah disenaraikan sebagai “ al-Mubasyirun bil Jannah ” iaitu mereka sudah dijamin masuk syurga. Nabi seterusnya berkata kepada Umar dan Ali :

“ Di zaman kamu nanti akan lahir seorang insan yang doanya sangat makbul. Kamu berdua pergilah cari dia. Dia akan datang dari arah Yaman, dia dibesarkan di Yaman. Dia akan muncul di zaman kamu, carilah dia. Kalau berjumpa dengan dia minta tolong dia berdoa untuk kamu berdua.”

Umar dan Ali bertanya kepada Nabi s.a.w. soalan yang sama iaitu :

“ Apakah yang patut saya minta daripada Uwais al-Qarni, Ya Rasulullah? “

Nabi menjawab :
“ Kamu minta kepadanya supaya dia berdoa kepada Allah agar Allah ampunkan dosa-dosa kalian.”

Banyak peristiwa sahabat yang berjumpa dengan Nabi s.a.w. , minta sesuatu yang baik kepada mereka, Nabi s.a.w. menjawab :

“ Pohonlah al-Maghfirah daripada Allah swt. ”

Maka topik al-Maghfirah (keampunan) ini menjadi topik yang begitu dicari, yang begitu relevan, hatta kepada orang yang telah disenaraikan sebagai ahli syurga. Kalau secara logiknya, ahli syurga seolah tidak perlu kepada pengampunan dosa daripada Allah s.w.t. kerana mereka sudah dijamin masuk syurga, namun tidak, Nabi s.a.w. masih menekankan supaya meminta Allah untuk mengampunkan dosa.

Memang benarlah firasat seorang Nabi, Uwais al-Qarni telah muncul di zaman Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali. Mereka memang menunggu dan mencari kabilah-kabilah yang datang dari arah Yaman ke Madinah, akhirnya bertemu mereka dengan Uwais al-Qarni. Dengan pandangan mata kasar, tidak mungkin dia orang yang Nabi s.a.w. maksudkan. Kerana orang itu pada pandangan insan-insan biasa atau orang-orang yang datang bersama dengannya bersama kabilah menganggapkan dia seorang yang kurang berakal.

Siapakah Uwais Al-Qarni?

Asalnya berpenyakit sopak, badannya putih, putih penyakit yang tidak digemari. Walaupun dia seorang berpenyakit sopak tetapi dia seorang yang soleh, terlalu mengambil berat tentang ibunya yang uzur dan lumpuh. Dia telah begitu tekun untuk mendapatkan keredhaan ibunya. Bapa dia meninggal dunia ketika dia masih kecil lagi. Dia sopak sejak dilahirkan dan ibunya menjaga dia sampai dia dewasa.

Suatu hari ibunya memberitahu kepada Uwais bahawa dia ingin sangat untuk pergi mengerjakan haji. Dia menyuruh Uwais supaya mengikhtiarkan dan mengusahakan agar dia dapat dibawa ke Mekah untuk menunaikan haji. Sebagai seorang yang miskin, Uwais tidak berdaya untuk mencari perbelanjaan untuk ibunya kerana pada zaman itu kebanyakan orang untuk pergi haji dari Yaman ke Mekah mereka menyediakan beberapa ekor unta yang dipasang di atasnya “ Haudat ”. Haudat ini seperti rumah kecil yang diletakkan di atas unta untuk melindungi panas matahari dan hujan, selesa dan perbelanjaannya mahal. Uwais tidak mampu untuk menyediakan yang demikian, unta pun dia tidak ada, nak sewa pun tidak mampu.

Ibu Uwais semakin uzur hari demi hari dan berkata kepada anaknya pada suatu hari :

“ Anakku, mungkin ibu dah tak lama lagi akan bersama dengan kamu, ikhtiarkanlah agar ibu dapat mengerjakan haji. ”

Uwais mendapat suatu ilham. Dia membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan sudah habis menyusu. Dia membuat sebuah rumah kecil (pondok) di atas sebuah “Tilal” iaitu sebuah tanah tinggi (rumah untuk lembu itu di atas bukit). Apa yang dia lakukan, pada petang hari dia dukung anak lembu untuk naik ke atas “Tilal”. Pagi esoknya dia dukung lembu itu turun dari “Tilal” untuk diberi makan. Itulah yang dilakukannya setiap hari. Ada ketikanya dia mendukung lembu itu mengelilingi bukit tempat dia beri lembu itu makan. Perbuatan yang dilakukannya ini menyebabkan orang kata dirinya gila.

Memang pelik, membuatkan rumah untuk lembu di atas bukit, kemudian setiap hari mengusung lembu, petang bawa naik, pagi bawa turun bukit. Namun sebenarnya jika dilihat di sebaliknya, Uwais seorang yang bijak. Lembu yang asalnya hanya 20kg, selepas enam bulan lembu itu sudah menjadi 100kg. Otot-otot tangan dan badan Uwais pula menjadi kuat hinggakan dengan mudah mengangkat lembu seberat 100kg turun dan naik bukit setiap hari.

Selepas lapan bulan, telah sampai musim haji, rupa-rupanya perbuatannya itu adalah satu persediaan untuk dia membawa ibunya mengerjakan haji. Dia telah memangku ibunya dari Yaman sampai ke Mekkah dengan kedua tangannya. Di belakangnya dia meletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti dan sebagainya. Lembu yang beratnya 100kg boleh didukung dan dipangku inikan pula ibunya yang berat sekitar 50kg. Dia membawa (mendukung dan memangku) ibunya dengan kedua tangannya dari Yaman ke Mekah, mengerjakan Tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan senang sahaja. Dan dia juga memangku ibunya dengan kedua tangannya pulang semula ke Yaman dari Mekah.

Setelah pulang semula ke Yaman, ibunya bertanya :

“ Uwais, apa yang kamu doa sepanjang kamu berada di Mekah? ”

Uwais menjawab :

“ Saya berdoa minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa ibu”. 

Ibunya bertanya lagi :

“ Bagaimana pula dengan dosa kamu? ”

Uwais menjawab :

“ Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga, cukuplah ibu redha dengan saya maka saya juga masuk syurga. “

Ibunya berkata lagi :

“Ibu nak supaya engkau berdoa agar Allah hilangkan sakit putih (sopak) kamu ini. “

Uwais berkata :

“ Saya keberatan untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha dengan kejadian Allah, macam saya tidak bersyukur dengan Allah Ta’ala. “

Ibunya menambah :

“ Kalau nak masuk syurga, kena taat kepada perintah ibu, ibu perintahkan engkau berdoa. ” 

Akhirnya Uwais tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa. Uwais berdoa seperti yang ibunya minta supaya Allah sembuhkan putih yang luar biasa (sopak) yang dihidapinya itu. Namun kerana dia takut masih ada dosa pada dirinya dia berdoa :

“ Tolonglah Ya Allah! Kerana ibuku, aku berdoa hilangkan yang putih pada badanku ini melainkan tinggalkan sedikit. ”

Allah s.w.t. menyembuhkan serta merta, hilang putih sopak di seluruh badannya kecuali tinggal satu tompok sebesar duit syiling di tengkuknya. Tanda tompok putih kekal pada Uwais kerana permintaannya, kerana ini (sopak) adalah anugerah, maka inilah tanda pengenalan yang disebut Nabi s.a.w. kepada Umar dan Ali.

” Tandanya kamu nampak di belakangnya ada satu bulatan putih, bulatan sopak. Kalau berjumpa dengan tanda itu dialah Uwais al-Qarni. “

Tidak lama kemudian, ibunya telah meninggal dunia. Dia telah menunaikan kesemua permintaan ibunya. Selepas itu dia telah menjadi orang yang paling tinggi martabatnya di sisi Allah. Sayyidina Umar dan Sayidina Ali dapat berjumpa dengan Uwais dan seperti yang diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w. , mereka meminta supaya Uwais berdoa agar Allah swt. mengampunkan semua dosa-dosa mereka. Ketika Uwais al-Qarni berjumpa Umar dan Ali, dia berkata :

“ Aku ini datang dari Yaman ke Madinah kerana aku ingin menunaikan wasiat Nabi kepada kamu iaitu supaya kamu berdua berjumpa dengan aku. “

Maka Uwais pun telah mendoakan untuk mereka berdua.


Dipetik dari:
www.iluvislam.com

Thursday, August 18, 2011

" Aku Hamba-Mu"


Assalamualaikum,

Alhamdulillah, berbaki berapa hari lagi masuklah kita dalam fasa tiga di bulan ramadhan, 10 awalnya rahmat dari Allah, 10 pertengahannya pengampunan dari Allah, dan 10 terakhirnya pembebasan diri daripada api neraka Allah.

Kita telah lama jelas dengan perkara ini tetapi kenapa kita masih tidak mengambil kesempatan yang diberikan oleh Allah, andai kata ramadhan ini yang terakhir buat kita betapa ruginya kita. jangan bila kita mengadap Allah kelak kita pula yang meminta untuk dihidupkan kembali untuk menebus kesilapan lalu.

Cuba teman-teman lihat, masjid-masjid kita sering dipenuhi oleh muslimin dan muslimat pada awalnya ramadhan dan semakin berkurangan pada pertengahan dan terakhirnya. adakah kita hanya menginginkan rahmat dari Allah sahaja, pengampunan? pembebasan dari api neraka?

Teman-teman, kita bukannya maksum, betapa banyak dosa kita dengan Allah tetapi Allah masih memelihara kita, panjangkan umur kita. untuk apa teman-teman? tidak lain dan tidak bukan untuk memberi kesempatan pada hamba-Nya untuk bertaubat diatas kesilapan lalu.

Dalam surah Az-zumar yang bermaksud;
"Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu dan berserah dirilah kepada-Nya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong" ayat 54.

Teman-teman yang diramati Allah s.w.t, ramai yang tidak sedar dan beranggapan tsunami yang melanda dulu adalah bencana alam. tidakkah kita terfikir siapa yang menjadikan bencana itu. Kita ini yang hidupnya di Malaysia bertuah tiada gunung berapi dan gempa bumi.

Tetapi kita jangan tertalu leka dengan keselesaan ini, tempias tsunami juga mengena kita, Allah telah memberi peringatan kepada kita agar kita tidak lalai memperingati-Nya. Allah s.w.t berfirman dalam Al-quran yang bermaksud;

"Dan ikutilah sebaik-baik apa yang telah diturunkan kepadamu (al-quran) dari Tuhanmu sebelum datang azab kepadamu secara mendadak, sedang kamu tidak menyedari","Agar jangan ada orang yang mengatakan," Alangkah besar penyesalanku atas kelalaianku (menunaikan kewajiban) terhadap Allah dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang mengolok-olokkan (agama Allah)" surah Az-Zumar ayat 55-56. 

Sempena bulan ramadhan ini, saya mengingati diri ini serta teman-teman, marilah kita bersama-sama mengambil peluang ini, kesempatan yang diberikan oleh Allah.


"Tetapi Allah tidak akan menghukum mereka, selama engkau (Muhammad) berada di antara meraka. Dan tidaklah (pula) Allah akan menghukum mereka, sedangkan mereka (masih) memohon keampunan." surah Al-Anfal ayat 33.

Ingatlah, janji Allah itu benar, segala keinginan-Nya pasti berlaku. sama-samalah kita memohon agar kita diberikan kesejahteraan di dunia dan di akhirat.

Akhir kata, kesilapan tulisan ini mengharapkan teguran, yang menulis ini juga lemah dan selalu melakukan khilaf. semoga teman-teman dirahmati Allah selalu, insyaAllah...

wallahua'lam....

Monday, August 15, 2011

"Jangan Bersedih, Sesungguhnya Allah Bersama Kita"


Asslammualaikum,

Makin hari makin menghapiri kita dengan 10 malam terakhir. entry kali ini untuk berkongsi video dan kata yang saya rasa mampu mengusik hati kita pada bulan ramadhan ini. kita selalu duduk termenung memikirkan nasib kita, merenung jauh mereka di sana hidup penuh keseronokan dan kegembiraan. namun masih tak sedarkah kita tentang hakikat erti kebahagiaan yang sebenar-benarnya? dipetik dari ceramah Dr. Maza bertajuk "mencari sakinah". moga-moga ape yang ditontonkan nnti sedikit sebanyak mendatangkan manfaat kepada kita, insyaAllah....



Teks penuh video 'Jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita!'


Apabila kita asyik termenung
memikirkan nasib diri di sini...
merenung jauh mereka di sana
hidup penuh keseronokan dan kegembiraan...
namun, kita masih tak sedar tentang hakikat

erti kebahagiaan yang sebenarnya...


Ramai orang...
tersalah sangka tentang maksud
ketenangan dalam hidupnya
selalu orang mengaitkan ketenangan itu
dengan faktor harta...
dengan faktor kekayaan...
Walaupun itu boleh jadi penyumbang
tetapi itu bukan segala-galanya
 

Betapa ramai orang yang berada dalam rumah yang besar
tidur di atas katil yang empuk
tetapi dia tidak lebih enak ataupun lenanya tidak nyenyak
Bahkan ada orang yang tidur di pondok buruk
kadang-kadang dia lebih lena dari kita
 

Ada orang yang berada di hadapannya hidangan yang hebat
lauk-pauk yang bagus
tetapi lidahnya tidak enak
lebih enak lagi orang yang makan kadang-kadang dengan
satu dua mata lauk...
tetapi dia lebih sedap dan selesa makannya
Kata Hamka: "lihatlah bagaimana Allah membahagi-bahagikan nikmat"
 

Semua orang sangka kalau orang itu ada rumah besar
ada makanan yang sedap
tentulah hidupnya bahagia dan tenang
Belum tentu!

[Tiada siapa mampu menghalang ketetapan Allah]
 

Jika Allah hendak memnberikan kebahagiaan kepada seseorang
Dia tidak boleh ditahan oleh apa-apa tangan sekalipun
Jika Allah menghalang kebahagiaan kepada seseorang
Dia tidak boleh dihulur oleh apa-apa tangan sekalipun
Jika Allah uruskan urusan kita
dan Allah tidak serahkan diri kita kepada kita
walaupun sekelip mata
dunia boleh berbuat apa-apa
tetapi mereka tidak boleh mencabar kebesaran kerajaan Allah
Jika Allah mengatur untuk kita apa yang orang sangka tewas
kita akan melihat kemenangan dari sisi Allah
Apa yang orang rasa rugi
Allah akan berikan keuntungan yang mana
jalan-jalan manusia tak sangka
tetapi Allah boleh mewujudkan keajaiban dalam kehidupan
 

[Apabila kita asyik mengeluh setiap kali ditimpa musibah...]
 

Tuan-tuan tengoklah dunia ni
kadang-kadang tuan-tuan
manusia dia hilang suatu benda ini daripada dunia
kadang-kadang macam dia hilang segala-galanya
saya nak sebut tuan-tuan
berapa banyak dalam hidup tuan-tuan telah melalui keperitan hidup?
Cuba ingat!
Ketika kita kena keperitan,
kita rasa kita tidak dapat keluar daripadanya
Tapi hari ini Allah telah keluarkan kita berada dalam keadaan yang baik
 

Ketika kita ditimpa musibah tertentu
Kita kata: "habislah aku kali ni"
tapi usia kita telah berjalan
Kita masih lagi hidup dan makan dan menikmati kurniaan Tuhan ini
Ketika kita kata: "Ya Allah... tolonglah aku,
Ya Allah... tolonglah aku, aku susah ya Allah"
hari ni kita pun telah lupa akan perkataan itu
dan kita lupa kadang-kadang untuk bersyukur
di atas pelbagai ranjang hidup yang telah Allah keluarkan kita daripadanya
 

Orang-orang yang diberitahu kepada mereka
"Nun, orang ramai sedang berkumpul untuk ambil tindakan kepada kau"
"Nun, orang nak ambil tindakan kepada hang"
"Nun, orang nak ambil tindakan kepada kau"
"Nun, ada orang nak bertindak kepada kau"
Kata Allah: "iman dia tambah"
Bukan kita kata: "pasal apalah Allah benci aku? Apalah dosa aku?"
Tidak, tidak!
Kata Quran: "iman mereka bertambah"
Mereka kata: حسبنا الله ونعم الوكيل"
"Cukuplah bagi kami, Allah...
Dialah sebaik-sebaik tempat diserahkan urusan"
(آل عمران: 173)
 

[Pengalaman sering mematangkan kita]

Siapa yang tidak melaluinya tidak akan memahami maksudnya
Orang-orang yang pernah hidup dan bertawakkal
dia akan mengetahui tentang keajaiban bertawakkal
Bila hati insan bulat kepada Ya Rabb
إني فَوَّضْتُ هذا الأمر إليك

Ya Allah... aku serahkan urusan ini kepadaMu ya Allah
 

[Kita sering lupa, kita masih punya kehidupan di akhirat]
 

Apabila insan melihat dunia daripada dimensi akhirat
dia akan merasakan dunia ini sangat kecil
kehidupan ini sangat luas
Nabi sebut di dalam hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim
Allah bawa pada hari akhirat, manusia yang paling derita dalam dunia ini
Saya tak tahu manusia paling derita di dalam dunia ini
Allah ambil dia, Allah masukkan dia ke dalam syurga
Dia dimasukkan, dicelupkan masuk ke dalam syurga
kemudian dia dikeluarkan lalu ditanyanya:
 

"Wahai fulan, adakah kau pernah rasa derita dalam hidup?"
Dia kata: "tak! Aku tak pernah derita pun dalam hidup ini"
Hanya kerana masuk sekelip mata di dalam syurga, lupa cerita derita
Allah ambil manusia yang paling nikmat dalam dunia ini
Segala yang nikmat, Allah masukkan dia secelup sahaja ke dalam neraka
lalu dikeluarkan dia
 

"Pernahkah kau merasai nikmat dalam hidup ini?"
Dia kata: "tak! aku tak pernah ada nikmat pun dalam hidup ini"
Hanya dengan satu celupan sahaja ke dalam neraka
Manusia lupa segala kisah nikmat dalam hidupnya
 


[Masihkah kita teringat akan nikmat yang Allah berikan selama ini?]
 

Kita selalu nak bersyukur kalau kita diberi benda baru
dan kita lupa bahawasanya apa yang ada pada kita ini suatu nikmat yang besar
Satu hamba Allah
yang patah kakinya
yang dia tidak pernah pun sebut
dulu barangkali tak pernah teringat tentang nikmat kaki yang setiap hari dia pijak
Tapi apabila satu hari dia sakit kaki
Dia kata: "Ya Allah... bagilah balik kaki aku, sembuhkanlah balik"
Dia tahu besarnya nikmat kaki, nikmat tangan, nikmat sihat
Kata Hamka: "Yang ada ini sudah harapan kita"
Yang kita ada ini harapan kita
Tetapi insan...
bukan salah untuk kita mengharapkan yang belum ada
tetapi jangan lupa yang telah ada


[Bersyukurlah wahai diri ini...]

Sebab itu sebahagian para sarjana menyebut
Syukur kadang kala makamnya lebih tinggi daripada sabar
Ramai orang terpaksa sabar
tapi belum tentu orang yang dapat nikmat itu bersyukur
Bila dia susah nak kata apa?
"Sabar je la, nak buat apa?"
Tapi untuk jadikan orang yang memiliki harta seperti tuan-tuan
syukur di atas nikmat
اللهم ما أصبح بي من نعمة أو بأحد من خلق

فمنك وحدك لا شريك لك فلك الحمد ولك الشكر

 

"Ya Allah... apa saja yang aku alami
daripada nikmatMu, daripada kurniaan daripada sesiapa di kalangan hambaMu
tidak ada daripada sesiapa melainkan daripada Engkau wahai Tuhan
bagi Engkaulah pujian, bagi Engkaulah kesyukuran.
Subhanallah...!
Insan, jika dia nak bersyukur kepada Allah, tak terdaya
وإن تعدوا نعمة الله لا تحصوها : إبراهيم: 34
 

Jika kamu hendak menghitung nikmat Allah, kamu tak mampu
Tuan-tuan... bila kita melihat hidup ini secara keseluruhan
kita akan rasa ma syaa Allah hidup ini
apa yang Allah kurniakan kepada kita
lebih dari harapan kita sebenarnya
Kalau tuan-tuan ingat daripada hari tuan-tuan dilahirkan
tempat tuan-tuan dilahirkan
rumah tuan-tuan dilahirkan
sehingga tempat tuan-tuan ada pada hari ini
Ma syaa Allah...!
Tak dapat nak diucapkan berapa kali nak sebut pun tak mampu
 

[Firman Allah yang bermaksud:]
 

"Ketika orang-orang yang kafir itu mengeluarkan dia
ketika dia salah seorang dari dua, dia dan Abu Bakar
yakni Nabi dan Abu Bakar
Ketika mereka berada di dalam gua (sewaktu peristiwa hijrah)
Ketika dia berkata kepada sahabatnya
لا تحزن إن الله معنا

"Jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita"
لتوبة: 40)

Friday, August 12, 2011

"Jangan Berputus Asa Pada Allah"


Assalamualaikum,

Alhamdulillah, dipanjangkan umur lagi untuk saya dan teman-teman masih boleh menulis dan membaca sedikit ilmu di dalam blog ini, sesungguhnya kita masih lagi diberi hidayah oleh Allah kerana ada rasa ingin mencari ilmu Allah. 

Teman-teman yang dirahmati Allah, ilmu yang kita ada ini teman-teman jauh lebih sedikit berbanding ilmu Allah. semakin dicari semakin ada benda baru yang kita pelajari. kita pada hari ini bukan saja tidak mencari ilmu malah berputus asa lagi dengan Allah. kita sering berdoa tetapi tidak pernah dimakbulkan, ingat teman-teman salah satu tanda Allah menyanyangi hamba-Nya adalah dengan mendatangkan ujian demi ujian untuk menguji kesabaran kita.

Dalam menjalani kehidupan dunia, kita tidak terlepas dengan pelbagai ujian. Teman-teman, janganlah kita berbohong pada diri kita sendiri, anda dan juga saya pun begitu, bila senang kita lupa Allah, bila susah atau ditimpa musibah sentiasa berzikir mengingati Allah. marilah sama-sama memuhasabah diri dan memperbaiki diri di bulan yang mulia ini.

Dalam surah Al-mukminun ayat 115 yang bermaksud;
"Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami jadikan kamu secara main-main dan bahawa kamu tidak akan kembali kepada Kami?"

"Dan tidaklah Kami jadikan manusia dan jin itu kecuali untuk beribadah kepada-Ku" surah Adz Dzariyat ayat 56.

Rasulullah s.a.w telah bersabda;"Sesungguhnya manusia yang paling berat menerima ujian ialah para nabi.

Daripada sabda Rasulullah s.a.w di atas dapat difahami hakikat kehidupan dunia ini adalah sebagai ujian yang bertujuan menilai diri seseorang samaada baik atau sebaliknya. Apabila kita memahami hakikat ini, maka kita tidak seharusnya berputus asa atau kecewa apabila kita menerima kegagalan atau tidak mencapai apa yang kita inginkan walaupun telah berusaha.

"Setiap bencana yang menimpa bumi dan menimpa dirimu sendiri, semuanya telah tertulis di Lauh Mahfuz sebelum Kami mewujudkannya. Sungguh, yang demikian mudah bagi Allah. Agar kamu tidak bersedih hati terhadap apa yang luput dan tidak pula terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepada kamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong dan membangga diri" surah Al-hadid ayat 22,23.

Oleh itu, janganlah kita berputus asa kepada Allah kerana Allah sentiasa bersama dengan kita, kerana Allah itu hampir dengan kita dan mendengar rintihan hambanya serta gembira dengan hamba yang kembali kepada-Nya

Akhir kata, bersama-samalah kita mengubah dari yang kurang baik kepada yang baik dan yang baik kepada orang yang lebih baik.
Wallahua'lam...

Thursday, August 11, 2011

"Mabuk Cinta Terhadap Allah"


Assalamualaikum,

Alhamdulillah, pejam celik sudah lepas fasa pertama bulan ramadhan ini, bulan tarbiah khas dikurniakan oleh Allah untuk umat-umat Nabi Muhammad s.a.w. inilah bulan yang mana akan menjadi bukti amalan kita melebihi umat-umat terdahulu. sebagai contoh, umat Nabi Nuh a.s yang umurnya lebih kurang 1000 tahun manakala kita ini yang umurnya sekitar 60 hingga 70 tahun. bagaimana mungkin kita mengatasi amalan umat-umat terdahulu.Dan bila diakhirat nanti apabila umat lain mempertikaikan kenapa amalan umat Nabi Muhammad ini yang umurnya pendek, malas beribadat tetapi banyak amalannya malah lebih baik dari mereka.Teman-teman yang dirahmati Allah, rebutlah peluang ini.

Berbalik kepada tajuk entri kita pada kali ini Mabuk Cinta Terhadap Allah. Dikisahkan dalam sebuah kitab karangan Imam Al-Ghazali bahawa pada suatu hari Nabi Isa a.s berjalan di hadapan seorang pemuda yang sedang menyiram air di kebun. Bila pemuda yang sedang menyiram air itu melihat Nabi Isa a.s berada di hadapannya maka dia pun berkata;
“Wahai Nabi Isa a.s, kamu mintalah dari Tuhanmu agar dia memberikan kepadaku seberat zarrah cintaku kepada-Nya.”

Berkata Nabi Isa a.s, “Wahai saudaraku kamu tidak akan terdaya untuk seberat zarrah itu.”
Berkata pemuda itu lagi, “Wahai Isa a.s kalau aku tidak terdaya untuk satu zarrah, maka kamu mintalah untukku setengah berat zarrah.”

Oleh kerana keinginan pemuda itu untuk mendapatkan kecintaannya kepada Allah, maka Nabi Isa a.s pun berdoa, “Ya Tuhanku, berikanlah ia setengah berat zarrah cintanya kepada-Mu.” Setelah berdoa maka Nabi Isa a.s pun beredar dari situ.

Selang beberapa lama Nabi Isa a.s pun datang lagi ke tempat pemuda yang memintanya berdoa, tetapi Nabi Isa a.s tidak dapat berjumpa dengan pemuda itu. Maka Nabi Isa a.s pun bertanya kepada orang yang lalu-lalang di tempat tersebut, dan berkata salah seorang yang berada di situ bahawa pemuda itu sudah gila dan kini berada di atas gunung.

Setelah mendengar penjelasan orang itu maka Nabi Isa a.s berdoa kepada Allah S.W.T, “Wahai Tuhanku, tunjukkanlah kepadaku tentang pemuda itu”.
Selesai sahaja berdoa maka Nabi Isa a.s pun dapat melihat pemuda itu yang berada di antara gunung-ganang dan sedang duduk di atas sebuah batu besar, matanya memandang ke langit.

Nabi Isa a.s pun menghampiri pemuda itu dengan memberi salam, tetapi pemuda itu tidak menjawab salam Nabi Isa a.s, lalu Nabi Isa berkata, “Aku ini Isa a.s.”

Kemudian Allah S.W.T menurunkan wahyu yang berbunyi, “Wahai Isa, bagaimana dia dapat mendengar perbicaraan manusia, sebab dalam hatinya itu terdapat kadar setengah berat zarrah cintanya kepada-Ku. Demi Keagungan dan Keluhuran-Ku, kalau engkau memotongnya dengan gergaji sekalipun tentu dia tidak mengetahuinya.”

Barangsiapa yang mengakui tiga perkara tapi tidak menyucikan diri dari tiga perkara yang lain maka dia adalah orang yang tertipu.

1. ORANG yang mengaku kemanisan berzikir kepada Allah, tetapi dia mencintai dunia.
2. ORANG yang mengaku cinta ikhlas di dalam beramal, tetapi dia ingin mendapat sanjungan daripada manusia.
3. ORANG yang mengaku cinta kepada Tuhan yang menciptakan-nya, tetapi tidak berani merendahkan dirinya.

Rasulullah s.a.w telah bersabda, “ Akan datang waktunya umatku akan mencintai lima lupa kepada yang lima:

1. MEREKA bercinta kepada dunia. Tetapi mereka lupa kepada akhirat.
2. MEREKA cinta kepada harta benda. Tetapi mereka lupa kepada hisab.
3. MEREKA cinta kepada makhluk. Tetapi mereka lupa kepada al-Khaliq
4. MEREKA cinta kepada dosa. Tetapi mereka lupa untuk bertaubat.
5. MEREKA cinta kepada gedung-gedung mewah. Tetapi mereka lupa kepada kubur.”

p/s: Sama²lah kita mengambil sedikit ilmu dari cerita ini..

Wednesday, August 10, 2011

"Tanda Hati Menerima Nur Allah"


Assalamualaikum,

Maha suci Allah, segala puji bagi Allah, Allah Maha besar, dipermudahkan segala urusan kita di bulan ramadhan ini dan insyaAllah berterusan di bulan-bulan yang lain. kali ini ingin saya berkongsi bersama anda semua bagaimana yang dikatakan hati kita ini mendapat NUR atau  HIDAYAH Allah.

Ada 2 golongan yang jelas diterangkan di dalam al-quran iaitu golongan Al-Muhtadun (orang yang mendapat hidayah), ini dinyatakan dalam surah at-taubah ayat 18; "sesungguhnya orang yang memakmurkan masjid adalah orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian serta menunaikan solat, mengeluarkan zakat, dan tidak takut kecuali Allah.maka mudah-mudahan mereka termasuk orang-orang yang mendapat petunjuk", 

Dan golongan Ad-Dhallun (orang yang sesat), ini dinyatakan pula dalam surah Al-An'am ayat 116;" dan jika kamu mengikuti kebanyakan orang di bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan-jalan Allah. yang mereka ikuti hanyalah persangkaan belaka dan mereka hanyalah membuat kebohongan".

Fokus kepada golongan Al-Muhtadun, golongan yang mendapat NUR di dalam hati mereka. Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir, pada suatu hari Rasulullah s.a.w telah membacakan ayat 22 dari surah Az-Zumar yang bermaksud;
"Maka apakah orang-orang yang dibukakan hatinya oleh Allah untuk (menerima) agama islam lalu dia mendapat cahaya dari tuhannya (sama dengan orang yang hatinya membatu)? maka celakalah hati mereka yang membatu untuk mengingati Allah. mereka itu dalam kesesatan yang nyata"

Maka para sahabat menanyakan kepada Rasulullah;"Ya Rasulullah, bagaimanakah caranya mengetahui dilapangkan atau di buka oleh Allah?

Baginda menjawab;" Bila hati seseorang sudah masuk kedalamnya NUR (cahaya iman) maka dia akan menjadi lapang dan terbuka."

Para sahabat bertanya lagi;" Apakah tandanya hati yang terbuka dan lapang itu ya Rasulullah."

Baginda menjawab;" Fokus perhatiannya sangat kuat terhadap kehidupan yang kekal dan abadi di akhirat dan tumbuh kesedaran yang tinggi terhadap tipu daya kehidupan dunia, lalu dia berkerja keras mempersiapkan bekalan menghadapi mati sebelum datangnya mati itu"

Teman-teman yang dirahmati Allah s.w.t,  iman pada seseorang tidak boleh diwarisi, andai kata kita beriman belum tentu anak kita satu hari nanti sama seperti kita, mungkin dia lebih baik ataupun sebaliknya. Dalam surah Al-An'am ayat 125, Allah telah berfirman;
" Barang siapa dikehendaki Allah akan mendapat hidayah (petunjuk), Dia akan membukakan dadanya untuk (menerima) islam, dan barang siapa dikehendaki-Nya menjadi sesat, Dia jadikan dadanya sempit dan sesak, seakan-akan dia sedang mendaki ke langit. Demikianlah Allah menimpakan siksa kepada orang-orang yang tidak beriman."

Teman-teman yang dirahmati Allah s.w.t, ayat di atas jelas menerangkan orang yang menerima hidayah Allah ialah orang yang menerima ISLAM, bukan melayu, bukan jawa, apetah lagi orang kafir. Ramai kita pada hari ini tidak menerima islam sepenuh-penuh nya, meraka mencapur aduk dan membuat undang-undang sendiri.

Dalam surah Al-An'am ayat 153 yang bermaksud;
" Dan sungguh, inilah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah! jangan kamu ikuti jalan-jalan (yang lain) yang akan mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. demikianlah Dia memerintahkan kepadamu agar kamu bertaqwa."

"Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan syirik, mereka itulah orang yang mendapat rasa aman dan mereka mendapat petinjuk" surah Al-An'am ayat 82.

"Dan janganlah kamu campur adukkan haq (kebenaran) dan batil (kejahatan) dan janganlah kamu sembunyikan kebenaran, sedangkan kamu mengetahuinya." surah Al-Baqarah ayat 42.

Oleh itu, marilah kita sama-sama menjaga hati kita semoga dikurniakan NUR dari Allah s.w.t.
"Bismillahirahamanirahim,Ya Allah, kau sinarilah hati kami dengan cahaya hidayah-Mu sebagaimana engkau kurniakan cahaya kepada matahari dan bulan, Dan janganlah engkau sesekali membolak balikkan hati-hati kami setelah engkau masukkan cahaya kepadanya" aamiiin...

Itulah sedikit sebanyak yang dapat saya kongsikan bersama, semoga mendapat manfaat daripadanya. yang baik dari Allah,yang kurang dari hamba ini sendiri.
Wallahua'lam....


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...