Tuesday, October 25, 2011

"Rasulullah s.a.w Sentiasa Bersama Kita"


Allah menyebutkan perihal kewujudan Nabi Muhammad di tengah-tengah kaum muslimin dalam surah at-Taubah, ayat 128 seperti berikut;

"Datang kepada kamu seorang rasul dari kaum kamu sendiri. Dia merasa penderitaan kamu dan menginginkan keimanan serta keselamatan bagi kamu. Dia belas kasihan lagi penyayang kepada orang mukmin."

Dalam berdakwah, Nabi Muhammad memberi perhatian kepada kaum yang lemah. Nabi membebaskan, memperjuangkan dan menemani serta hidup diantara kaum yang tertindas seperti orang yang dianiaya, dizalimi dan orang miskin. Oleh sebab itulah, nabi mendapat gelaran ' Abu Masakin' yang bererti 'bapa orang-orang miskin'.

Apabila ada orang bertanya kepadanya dimana beliau selalu berada, nabi menjawab, "Carilah aku di antara orang-orang yang lemah diantara kamu. Carilah aku ditengah-tengah kelompok kecil diantara kamu." Nabi sering berdoa kepada Allah dengan doa berikut,"Ya Allah, hidupkanlah aku sebagai orang miskin, matikan aku sebagai orang miskin dan bangkitkan aku pada hari kiamat juga bersama-sama orang miskin."

Perjuangan nabi ditengah-tengah masyarakat semakin lama semakin mendapat perhatian dan simpati masyarakat secara meluas. Namanya yang harum bukan hanya dirasakan oleh kaum muslimin, tetapi juga oleh para musuhnya. Ini kerana Nabi Muhammad memperjuangkan nasib semua manusia secara universal.

Peranan Nabi Muhammad dapat dibahagikan sebagai nabi dan rasul, sebagai hakim, sebagai mufti yang memberi fatwa, sebagai pemimpin masyarakat dan Muhammad dalamkehidupan peribadinya. Sewaktu beliau berbicara dalam kedudukannya sebagai Rasulullah, perkataannya pasti benar kerana Allah membimbingnya secara langsung.

Salah satu faktor kejayaan Nabi Muhammad adalah kekuatannya memegang akidah dan mampu menolak sebarang godaan. Beliau berkata."Demi Allah, seandainya mereka meletakkan matahari ditangan kananku dan bulan ditangan kiriku supaya aku meninggalkan agama ini, aku tidak akan meninggalkannya."

Dengan kekuatan itu, nabi membimbing para sahabat dan kaum muslimin sehingga mereka memiliki empat kebiasaan yang positif iaitu membaca Al-Quran, berdakwah, berbincang perihal ilmu dan berdagang. Pada waktu yang sama, mereka melaksanakan ibadah dengan baik misalnya bersilaturrahim, berpuasa sunat, mengerjakan solat malam dan sebagainya.

Allah melantik Nabi Muhammad sebagai 'ejen rahmatan lil 'alamin' bagi seluruh umat manusia. Nabi Muhammad merupakan nabi dan rasul antarabangsa kerana risalahnya bersifat universal dan global, ditujukan kepada seluruh manusia, semua bangsa dan bahasa sehingga hujung zaman. Sesungguhnya, risalah atau ajaran Nabi Muhammad itu sempurna bagi memimpin manusia dalam mencapai kebahagiaan didunia dan akhirat.

Wednesday, October 12, 2011

"Wahai Hati, engkaulah Segala Puncanya"


Assalamualaikum,

Alhamdulillah, entry kali ini menceritakan sedikit tentang satu benda yang manusia sekarang tidak kisah dan malah tidak ambil tahu pun pasal benda ini. mereka merasakan mereka aman dengan tikahlaku mereka. benda ini selalu diperkatakan dan benda ini adalah "HATI". 

Saya teringat pada sabda Rasulullah s.a.w yang berbunyi; "Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia ada segumpal daging. Apabila ia baik, maka baiklah seluruh jasad tersebut. Namun apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad tersebut. ketahuilah bahawa segumpal daging itu adalah hati" -hadis riwayat Muslim.

Bedasarkan hadis tersebut, hati merupakan organ penting yang mampu mengawal perilaku seseorang. jika zahirnya kurang maksudnya dalamannya juga kurang. kita cuba renungkan ayat ini;

"Alah orang pakai tudung bukannya baik sangat, busuk hati gak. kami tak pakai tudung tapi hati kami baik"

Kita sudah biasa dengan jawapan ini, bila kita menegur dan inilah jawapannya. bukan niat untuk mengata atau mengutuk tetapi ini sudah jelas menunjukkan hati mereka ini masih ada titik hitam. jika masih berterusan makin bertambahlah bintik-bintik hitam ini lalu gelap hati mereka untuk menerima hidayah Allah.

Dari Ahmad Ath-Thabrani dalam satu riwayatnya, Rasulullah s.a.w telah membahagikan hati itu kepada 4 jenis iaitu;

1. Hati Hidup dan Sempurna atau selamat Sejahtera – ialah hati yang tenang diselaputi dengan iman dan dipenuhi dengan cahaya.Yakin dan Ikhlas serta dipenuhi dengan cinta kepada Allah SWT. Mencintai apa sahaja yang Allah Cintai serta Redha kepada Allah SWT.

2. Hati Mati- ialah hati yang dipenuhi dengan kegelapan dan bersifat ganas, seperti rumah yang ditinggalkan dan didiami oleh syaitan, dipenuhi dengan sifat munafiq, kafir dan maksiat. hatinya adalah seperti hati orang kafir.

3. Hati Sakit- ialah hati yang becampur sifat iman dan munafik. Imannya sentiasa berubah, kadang-kadang menjadi munafiq dan kadang-kadang berminat kepada Islam, Hatinya sentiasa dibelai dengan nafsu, bergelombang dengan fitnah dan tergoda dengan syaitan, ia adalah hati yang terlalu lemah iman.

4. Hati yang Kosong- apa jua diisi ia tidak membawa apa-apa faedah,tidak mengenal kebaikan dan tidak mengenal kejahatan, apa yang menjadi matlamatnya adalah nafsu semata-mata, inilah hati orang munafiq.

Kebiasaan hati manusia ini cenderong kepada hati yang ketiga iaitu hati sakit. hati ini merupakan hati yang sifatnya bercampur aduk ciri-ciri orang beriman dan orang munafik. sebagai contoh, seorang pemuda yang melakukan kebaikan kerana Allah dan menyokong program maksiat kerana ikutan nafsu.

Jika kita tergolong sebagai manusia yang mempunyai hati sebegini haruslah berwaspada. sebab apa bila tiba saat ajal menjemput dimanakan sifat hati kita ketika itu, beriman ataupun munafik. jika munafik, sia-sialah kehidupan di dunia ini ataupun sebaliknya.
Sentiasalah, merubat hati-hati kita dengan amalan wajib dan sunat, selalu berzikir. kerana apa, bila ada 2 pihak, mesti ada yang kalah dan menang. biarlah iman kita menang semoga bila sampai waktunya nanti iman ini akan menyelamatkan kita dan mati dalam keadaan beriman kepada Allah s.w.t.


Rasulullah sendiri sering berdoa: “Wahai Allah yang boleh membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas jalan agama-Mu”. Baginda juga memohon Allah memelihara hala tuju perasaannya supaya tidak menyimpang dari hala tuju yang ditentukan Allah menuju kepada yang tertinggi.
   
“Wahai Allah yang menguruskan hati, uruskanlah hati kami di atas ketaatan kepada-Mu”. 

 Rasulullah juga berdoa pada siang dan malam di dalam zikirnya: “Wahai Allah, sesungguhnya saya berlindung kepada-Mu daripada kekufuran dan kefakiran”.

InsyaAllah,

setakat itu sahaja, yang baik itu dari Allah, yang kurang dari kelemahan diri ini. tulisan ini bukan sekadar memberi nasihat pada pembaca malah untuk diri ini juga. semoga dengan apa yang sedikit ini memberi manfaat..

wallahua'lam.

Sunday, October 9, 2011

"Ku Rasa Jatuh Cinta PadaMU"


Assalamualaikum,

Muda semakin menjauhi kita, tua datang menemani hidup-hidup kita, sudahkah kita memenuhi bekal atau bekas yang kita ada dengan amalan ataupun dibiarkan kosong terbuka malah dipenihi dengan habuk-habuk. peringatan untuk saya dan juga teman-teman pembaca, biasalah hendak memulakan sesuatu yang baik sangat sukar untuk kita tetapi biarlah kita ini menjadi orang yang selalu berusaha untuk membuat kebaikan. itu lebih berguna daripada orang yang duduk saja tanpa sesuatu.

Apa yang saya ingin kongsikan kali ini, mungkin kita tidak tahu ataupun tidak perasan, kita sebenarnya menumpang kasih sayang orang dan itu penyebab Allah menangguh hukuman terhadap dosa-dosa kita. kita mengaku kita ini islam tetapi kita tidak menghayati apa erti itu islam, apa yang ada dalam islam ini, yang mana patut diikuti dan yang mana harus ditegah. islam ini mudah, mengajak melalukan kebaikan, mencegah kemungkara, melakukan apa yang disuruh, menegah apa yang dilarang.

Dalam kisah ini menceritakan kasih sayang Allah kepada kekasihnya Muhammad s.a.w, dan kasih ini juga menyebabkan Allah sayang pada umat Nabi s.a.w. mari kita sama mencari ikhtibar dari kisah ini;

Allah SWT selesai menciptakan Jibrail as dengan bentuk yang cantik, dan Allah menciptakan pula baginya 600 sayap yang panjang , sayap itu antara timur dan barat (ada pendapat lain menyatakan 124, 000 sayap). Setelah itu Jibrail as memandang dirinya sendiri dan berkata:

"Wahai Tuhanku, adakah engkau menciptakan makhluk yang lebih baik daripada aku?."

Lalu Allah swt berfirman yang bermaksud.. "Tidak"

Kemudian Jibrail as berdiri serta solat dua rakaat kerana syukur kepada Allah swt. dan tiap-tiap rakaat itu lamanya 20,000 tahun.

Setelah selesai Jibrail as solat, maka Allah SWT berfirman yang bermaksud. "Wahai Jibrail, kamu telah menyembah aku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh, dan tidak ada seorang pun yang menyembah kepadaku seperti ibadat kamu, akan tetapi di akhir zaman nanti akan datang seorang nabi yang mulia yang paling aku cintai, namanya Muhammad. ' Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa, sekiranya mereka itu mengerjakan solat dua rakaat yang hanya sebentar sahaja, dan mereka dalam keadaan lupa serta serba kurang, fikiran mereka melayang bermacam-macam dan dosa mereka pun besar juga. Maka demi kemuliaannKu dan ketinggianKu, sesungguhnya solat mereka itu aku lebih sukai dari solatmu itu. Kerana mereka mengerjakan solat atas perintahKu, sedangkan kamu mengerjakan solat bukan atas perintahKu."

Kemudian Jibrail as berkata: "Ya Tuhanku, apakah yang Engkau hadiahkan kepada mereka sebagai imbalan ibadat mereka?"

Lalu Allah berfirman yang bermaksud. "Ya Jibrail, akan Aku berikan syurga Ma'waa sebagai tempat tinggal..."
Kemudian Jibrail as meminta izin kepada Allah untuk melihat syura Ma'waa.

Setelah Jibrail as mendapat izin dari Allah SWT maka pergilah Jibrail a.s dengan mengembangkan sayapnya dan terbang, setiap dia mengembangkan dua sayapnya dia boleh menempuh jarak perjalanan 3000 tahun, terbanglah malaikat jibrail a.s selama 300 tahun sehingga ia merasa letih dan lemah dan akhirnya dia turun singgah berteduh di bawah bayangan sebuah pohon dan dia sujud kepada Allah SWT lalu ia berkata dalam sujud:

"Ya Tuhanku apakah sudah aku menempuh jarak perjalanan setengahnya, atau sepertiganya, atau seperempatnya?"

Kemudian Allah swt berfirman yang bermaksud. "Wahai Jibrail, kalau kamu dapat terbang selama 3000 tahun dan meskipun aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yang telah kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari beberapa perpuluhan yang telah kuberikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan....."

Marilah sama-sama kita fikirkan dan berusaha lakukan... Sesungguhnya Allah S.W.T telah menyembunyikan enam perkara iaitu :

* Allah S.W.T telah menyembunyikan redha-Nya dalam taat.

* Allah S.W.T telah menyembunyikan murka-Nya di dalam maksiat.

* Allah S.W.T telah menyembunyikan nama-Nya yang Maha Agung di dalam Al-Quran.

* Allah S.W.T telah menyembunyikan Lailatul Qadar di dalam bulan Ramadhan.

* Allah S.W.T telah menyembunyikan solat yang paling utama di dalam solat (yang lima waktu).

* Allah S.W.T telah menyembunyikan hari kiamat (hari kejadiannya) di dalam semua hari.


Semoga kita mendapat berkat daripada ilmu ini. Wallahualam

"Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila ia mengkehendaki sesuatu, hanyalah ia berfirman kepada (hakikat)benda itu: "Jadilah Engkau!", maka ia terus menjadi"-ayat 82, surah Yassin.

Thursday, October 6, 2011

"Pewarna Rambut"


Assalamualaikum,
Ramai dikalangan kita masih tidak pasti dengan mewarnakan rambut ni, bila ditegur "haram tidak boleh dye rambut", dibalas pulak "kan ada logo halal tu". kenapa kita tidak paham dengan perkataan halal dan logo halal ini???

Perkataan halal pada kebiasaanya adalah digunakan untuk barang makanan termasuklah sumber pendapatan sebagaimana yang biasa disebut iaitu rezeki yang halal. Adapun barang gunaan umpamanya pewarna rambut, minyak rambut dan barang-barang kosmetik, penggunaan perkataan halal itu tidak tepat. Jika tujuan penamaan label HALAL itu adalah untuk membolehkan orang Islam memakai atau menggunakannya, perkataan yang tepat ialah suci bererti tidak najis kerana kita dilarang menggunakan atau memakai barang-barang yang najis. Inilah pemakaian atau penggunaan yang patut diketahui oleh orang-orang Islam.

Rambut merupakan bahagian yang wajib dibasuh ketika mandi junub atau mengangkat hadas kecil (wudhu). Ini bererti air yang bersih mesti sampai ke semua bahagian rambut termasuklah kulit kepala ketika mandi junub itu atau sebahagiannya ketika berwudhu.

Jika ada sesuatu yang menghalang air untuk sampai membasahi rambut, maka tidaklah sah mandi hadas besar dan wudhu berkenaan. Sehubungan dengan itu ibadat-ibadat yang dilakukan seperti sembahyang menjadi tidak sah kerana hadas atau wudhunya itu tidak terangkat.

Dari itu sekiranya pewarna rambut itu sifatnya melekat atau melapis rambut, sekalipun ianya suci maka ia sudah pasti menghalang air untuk sampai ke rambut. Jika ini terjadi, maka mandi junub umpamanya dalam keadaan rambut diwarnakan dengan bahan
tersebut adalah tidak sah dan ini akan menyebabkan ibadahnya seperti sembahyang tidak sah kerana hadasnya tidak terangkat.

Berbeza halnya, jika pewarna rambut itu tidak melekat di atas rambut seperti ia sifatnya meresap sepertimana meresapnya inai (pacar) pada jari dan kuku. Ini tiada menghalang air daripada sampai ke bahagian yang wajib dibasuh.

Pada suatu masa dahulu pernah ditanya kepada Jabatan ini tentang pewarna rambut ‘dye’ yang sifatnya menghalang air sampai ke rambut. Tentulah pewarna ‘dye’ itu tidak boleh dipakai sekalipun ia suci atau menurut istilah setengah negara sebagai HALAL.

Selain daripada memerhatikan kepada aspek atau jenis pewarna yang digunakan untuk mewarnakan rambut itu sebagaimana yang telah dibincangkan di atas serta kesan pemakaiannya yang boleh menyebabkan tidak sah ibadat yang dilakukan sekiranya ibadat tersebut disyaratkan melakukannya dalam keadaan thahârah, adalah penting untuk kita menilai sejauh manakah pandangan syara‘ tentang hukum mewarnakan rambut ini.

Mewarna rambut itu tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya dengan alasan bahawa pewarna yang digunakan itu adalah halal ataupun suci.

Di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
Bahawasanya orang Yahudi dan Nasrani tidak mewarnakan (uban mereka) maka hendaklah kamu tidak menyerupai mereka.
(Hadits riwayat Muslim)

Ini diperkuatkan lagi dengan peristiwa ketika Abu Quhafah (ayah kepada Sayidina Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu) dibawa ke hadapan Baginda pada hari pembukaan Makkah yang mana ketika itu rambut dan junggutnya dipenuhi dengan uban, maka Baginda bersabda:

Maksudnya:
Tukarkan (warna uban) ini dengan sesuatu dan jauhilah daripada (menggunakan) pewarna hitam.
(Hadits riwayat Muslim)

Berdasarkan hadits di atas para ulama berpendapat bahawa mewarnakan uban yang tumbuh pada rambut kepala adalah sunat sama ada lelaki atau perempuan. Warna yang disunatkan untuk digunakan pula ialah kuning atau merah kecuali warna hitam, kerana haram menggunakan pewarna hitam menurut pendapat al-ashah.

Walau bagaimanapun harus mewarnakan uban itu dengan pewarna hitam sekiranya bertujuan untuk menakutkan pihak musuh ketika berjihad. Sebagaimana yang dijelaskan oleh hadits di atas bahawa tujuan mewarnakan uban itu adalah untuk membezakan kebiasaan kaum Yahudi dan Nashrani yang mana mereka itu meninggalkan perbuatan mewarnakan uban.

Sementara itu pula rambut yang tidak beruban adalah sayugianya ianya dikekalkan atau dibiarkan sepertimana aslinya. Ia tidak perlu diwarnakan kecuali jika ada sesuatu yang memerlukan ianya diwarnakan umpamanya untuk tujuan perubatan.

Akan tetapi jika perbuatan mewarnakan itu dengan bentuk atau gaya sepertimana fesyen dan penampilan orang-orang kafir yang tidak sesuai dengan akhlak Islam sebagaimana yang kita saksikan yang menjadi ikutan oleh anak-anak Islam, maka perbuatan itu adalah haram sekalipun pewarna yang dipakai itu suci. Dengan melakukan perbuatan itu bererti mengikut budaya orang bukan Islam. Ini adalah perkara yang dilarang oleh hukum syara‘ kerana larangan menyerupai mereka disebut oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan sabda Baginda:


Maksudnya:
Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia adalah daripada golongan mereka.
(Hadits riwayat Abu Daud)

Menyerupai mereka dari sudut penampilan zahiriah sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu al-Qaiyim al-Jawjiyah merupakan satu jalan ke arah menyerupai mereka dari segi maksud dan perbuatan. Ianya juga sebenarnya timbul atas dasar suka dan menganggap ianya adalah satu perkara yang baik. Apabila seseorang itu menganggapnya satu kebaikan maka cenderunglah dirinya untuk melakukannya. Apabila dia sudah melakukannya buat pertama kali nescaya akan diulanginya untuk kali kedua dan seterusnya sehingga menjadi adat atau kebiasaan kepada dirinya. Dengan itu akan lenyaplah nilai-nilai Islam di dalam dirinya itu.

Dari itu perbuatan menyerupai orang-orang kafir itu adalah sangat ditegah sekalipun tanpa tujuan meniru perbuatan mereka itu, demi menjaga iman dan aqidah umat Islam daripada terjebak ke arah perkara yang membawa kufur. Wal‘iyâdzubillah.

Selain daripada itu mewarna rambut khususnya bagi wanita sudah tentu akan membawa kepada pendedahan aurat, kerana tujuan mewarnakan itu sendiri adalah untuk ditonton dan disaksikan. Jika yang menyaksikan itu mahramnya, maka tidaklah haram, tetapi jika bukan, yakni lelaki ajnabiy (asing), maka perbuatan mendedahkan aurat di hadapan orang bukan mahram itu hukumnya adalah haram.

Berbalik kepada tanda atau logo halal pada barang gunaan, ia bukanlah suatu jaminan bahawa benda itu boleh dipakai, kerana penipuan boleh saja berlaku, bahkan telah pun banyak berlaku, di mana pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan label halal semata-mata untuk mendapatkan kepercayaan pengguna.

Jika sifat pewarna rambut itu menghalang air sampai ke rambut, maka ia tidak boleh dipakai sekalipun ia suci. Walaupun ada tertera label halal atau suci, namun apa yang lebih selamat ialah meninggalkannya demi menyelamatkan diri daripada syubhah. Lagipun tidak jelas dari segi keperluan memakainya.

Menjauhi perkara syubhah atau samar-samar itu merupakan tuntutan syara‘. Dengan menjauhinya akan terpeliharalah agama.

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya:
Tinggalkanlah barang yang meragukan engkau kepada apa yang tidak meragukan engkau
. (Hadits riwayat at-Tirmidzi dan an-Nasa’i)

Sabda Baginda lagi:

Maksudnya:
Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram juga jelas (terang) dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia, maka sesiapa memelihara (dirinya daripada) segala yang kesamaran,sesungguhnya dia telah memelihara agama dan kehormatannya. Dan sesiapa yang jatuh ke dalam perkara kesamaran, jatuhlah dia ke dalam yang haram, seperti seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternakannya) makan di dalamnya. Ketahuilah bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan. Ketahuilah bahawa larangan Allah ialah segala yang diharamkanNya. Ketahuilah, bahawa di dalam badan itu ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah seluruh badan, dan apabila ia rosak, rosaklah semuanya, ketahuilah, itulah dia hati.

(Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

WaLlahua'lam 



Rujuk : http://www.mufti.gov.bn/fatwa/Fatwa%20pilihan/2011/Bil%206-2011%20-%20Fatwa%2022%202001%20-%20MEWARNA%20RAMB

"4 Jenis Mannusia"


Alhamdulillah,

Kita masih diberi taufiq dan hidayah daripada Allah, masih boleh membaca dan memberi nasihat. sabda Rasulullah s.a.w "sampaikanlah dariku walaupun satu ayat". InsyaAllah kali ini saya ingin berkongsi sedikit informasi tentang 4 jenis manusia yang hidup diatas bumi ini.

Ulama, telah mengklasifikasikan manusia kepada 4 jenis iaitu;

1. Orang yang tahu, dan dia tahu bahawa dia tahu ; Itulah orang yang berilmu – ikutilah mereka.
2. Orang yang tahu, tetapi tidak tahu bahawa dia tahu ;Itulah orang yang lalai – berilah mereka peringatan.
3. Orang yang tidak tahu, dan dia tahu bahawa dia tidak tahu ; Itulah orang yang jahil – ajarlah mereka.
4. Orang yang tidak tahu, dan dia tidak tahu bahawa dia tidak tahu ; Itulah orang yang bodoh dan degil - Oleh itu, tinggalkan mereka.

Abu Darda' r.a berkata, "Jadilah kamu orang yang 'alim ataupun orang yang belajar ataupun orang yang mendengar ataupun orang yang mengasihi (ilmu pengetahuan dan ahlinya). Dan janganlah kamu menjadi orang yang kelima, nescaya kamu akan binasa".

Untuk menjadi cerdik pandai ada 3 anak tangga yang perlu didaki terlebih dulu.

1. Sukakan ilmu pengetahuan.

Pertama, sikap kita terhadap ilmu. Kita mestilah sukakan ilmu pengetahuan walaupun tak berkesempatan untuk betul-betul mempelajari dan menguasainya. Kita pun mengasihi orang yang terlibat dalam kitaran ilmu iaitu orang alim, para pelajar dan orang yang mendengar kuliah-kuliah.

2. Mendekatkan diri dengan ilmu pengetahuan.

Kedua, jika ada sedikit peluang, kita berusaha berjinak-jinak dengan ilmu pengetahuan dengan cara mendengar, membaca atau bertanya. Bergaul dengan ahli ilmu pun boleh mendekatakan kita kepada gerbang ilmu pengetahuan.

3. Belajar ilmu pengetahuan daripada orang alim.

Ketiga, kita benar-benar ada peluang untuk belajar atau kita benar-benar tertarik ingin belajar. Kita akan gunakan sebahagian masa kita untuk belajar, sedikit harta kita untuk belanja belajar dan kecerdikan kita untuk menyelami rahsia ilmu pengetahuan. Dan tentulah belajar dengan ahli ilmu pengetahuan iaitu para ulama', cendikiawan dan cerdik pandai dan mendengar nasihat mereka.
Selepas satu jangka masa, dengan kesabaran dan ketekunan yang tinggi, kita akan menjadi golongan cerdik pandai.

Orang yang tidak sukakan ilmu pengetahuan atau bermusuh dengan kitaran ilmu pengetahuan adalah golongan kelima. Bukan saja mereka tidak akan menjadi alim, bahkan mereka juga akan binasa kerana memusuhi ilmu pengetahuan dan ahlinya.

Dengan kata lain, mereka sukakan kejahilan dan berbangga dengan kejahilan tersebut. Kalau kita hanya ada banyak ilmu tentang kehidupan dunia semata-mata, kita akan rugi di negeri akhirat serugi-ruginya. Kalau kita ada ilmu akhirat sema-mata, tanpa ada ilmu langsung tentang kehidupan di dunia, kita akan mudah ditipu orang dan sukar mencari bekalan kehidupan untuk dijadikan bekal perjalanan ke negeri akhirat.

Jadi kita kena ada ilmu dunia dan ilmu akhirat, barulah kita tidak binasa.

Semoga Allah menjadikan kita dikalangan orang-orang sentiasa beristiqamah dijalanNya dan menjadi pembela agamaNya. Amin.

Tuesday, October 4, 2011

"Saat Kematian Seorang Insan"




Dari Al-Bara’ bin ‘Azib RA, katanya: Kami telah keluar bersama-sama Nabi SAW, mengiringi jenazah seorang lelaki dari kaum Ansar, lalu kami sampai ke kuburnya yang disediakan. Rasulullah SAW pun duduk lalu kami duduk disekelilingnya dengan keadaan tidak bergerak dan membisu seolah-olah ada burung yang hinggap di atas kepala kami; manakala Baginda SAW pula mencucuk-cucuk tanah dengan seranting kayu yang ada di tangannya. 

Setelah itu Baginda SAW mengangkat kepalanya lalu bersabda: Mintalah kamu perlindungan kepada Allah dari azab kubur”, (diulanginya sabdanya itu) dua atau tiga kali; kemudian Baginda s.a.w bersabda lagi: 

“Sesungguhnya hamba Allah yang mukmin (ketika hendak mati) apabila ia berada dalam keadaan terputus dari dunia dan sedang menghadapi akhirat, akan turunlah kepadanya Malaikat-malaikat dari langit, putih bersih muka mereka, seolah-olah matahari, dengan membawa bersama mereka kain-kain kapan dari syurga, dan haruman yang ada di syurga, sehingga mereka duduk jarak daripadanya sejauh mata memandang. Kemudian datang Malakulmaut a.s lalu duduk di sisi kepalanya sambil menyerunya dengan berkata:
“Wahai jiwa yang baik! Keluarlah engkau menuju ke tempat keampunan dan keredhaan Allah”

Baginda s.a.w bersabda lagi: “Kemudian roh orang itu keluar – mengalir seperti mengalirnya setitik air dari mulut bekas air (yang terbuat dari kulit kambing), lalu Malakul maut mengambilnya, maka apabila ia mengambilnya, Malaikat-malaikat (yang ditugaskan untuk itu) tidak membiarkannya ditangan Malakul maut walau sekelip mata sekalipun lalu mereka mengambilnya kemudian meletakkannya di dalam kain kapan dan haruman tersebut; dan keluar pula dari roh itu bau yang harumnya seperti haruman kasturi yang terdapat di atas muka bumi.” 

Baginda s.a.w bersabda lagi: “Kemudian mereka membawanya naik ke langit, maka mereka tidak melalui (semasa membawanya) mana-mana kumpulan Malaikat melainkan kumpulan Malaikat itu berkata: “Roh yang baik ini roh siapa?” Mereka menjawab: “Roh si fulan anak si fulan’ (dengan menyebutkan sebaik-baik namanya yang biasa mereka menamakannya dengan nama-nama itu di dunia), (demikianlah halnya) sehingga berakhirlah perjalanan mereka membawanya ke langit yang pertama; setelah itu mereka meminta dibukakan pintu langit untuknya, lalu dibukakan pintu untuk mereka; kemudian Malaikat-malaikat yang berkedudukan istimewa di sisi Tuhan dari penduduk tiap-tiap langit menghantar roh itu beramai-ramai hingga ke langit yang berikutnya, sehinggalah mereka berhenti membawanya di langit yang ketujuh. 

Setelah itu Allah ‘Azza wa Jalla berfirman kepada Malaikat-malaikat (yang ditugaskan untuk itu): “Simpanlah suratan amal hambaKu ini dalam ‘illiyyin (tempat simpanan surat amal orang-orang yang berbakti) dan bawalah dia balik ke bumi, kerana sesungguhnya Aku telah menciptakan manusia dari bumi, dan ke bumi juga Aku kembalikan mereka, serta dari bumi pula Aku keluarkan mereka sekali lagi”

Baginda SAW bersabda lagi: “Dan sesungguhnya orang yang kafir atau fasik (ketika hendak mati) apabila ia berada dalam keadaan terputus dari dunia dan sedang menghadapi akhirat, akan turunlah kepadanya Malaikat-malaikat dari langit, hitam muka mereka, dengan membawa kain-kain kasar seperti kain kadut; lalu mereka duduk jarak daripadanya sejauh mata memandang. Kemudian datang Malakal maut, lalu duduk di sisi kepalanya sambil menyerunya dengan berkata: “Hai jiwa yang jahat! Keluarlah engkau menuju ke tempat kebencian dan kemurkaan Allah”. 

Baginda s.a.w bersabda lagi: “Kemudian roh orang itu berselerak di merata jasadnya (kerana takut hendak keluar), lalu disentap rohnya itu oleh Malakul maut sebagaimana sebatang besi pembakar daging disentap dari segumpal bulu yang basah; Malakul maut pun mengambilnya, maka apabila ia mengambilnya, Malaikat-malaikat (yang ditugaskan untuk itu) tidak membiarkannya di tangan Malakul maut walau sekelip mata sekalipun sehingga mereka meletakkannya dalam kain kasar yang tersebut; dan keluar pula dari roh itu bau yang sebusuk-busuk bau bangkai yang ada di atas muka bumi. 

Kemudian mereka membawanya naik ke langit, maka mereka tidak melalui (semasa membawanya) mana-mana kumpulan Malaikat melainkan kumpulan Malaikat itu berkata: “Roh yang jahat ini roh siapa?” Mereka menjawab: “Roh si fulan anak si fulan,” (dengan menyebutkan seburuk-buruk namanya yang biasa dipanggil dengan nama-nama itu di dunia); (demikianlah halnya) sehingga berakhirlah perjalanan mereka membawanya ke langit yang pertama, setelah itu mereka meminta dibukakan pintu langit untuknya, tetapi tidak dibukakan baginya. 

Kemudian Rasulullah SAW membaca (ayat 40 Surah al-A’raf ertinya): …..Tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk syurga hingga unta masuk di lubang jarum…..”. (Kemudian Baginda SAW bersabda): “Lalu Allah ‘Azza wa Jalla berfirman kepada Malaikat: “Simpanlah suratan amal jahatnya di dalam sijjin (tempat simpanan surat amal jahat orang-orang yang berdosa), yang letakkanya di bumi yang terkebawah sekali. Lalu dicampakkan rohnya ke situ……..”(HR Ahmad, Abu Dawud)

p/s: pilihan ditangan kita, samaada menjadi seorang yang mukmim ataupun fasik. semoga Allah memelihara kita daripada azab kubur...insyaAllah.

Sunday, October 2, 2011

"Haramkah"

video
 
 
Haram? Haramkah aku 
bila hatiku jatuh cinta? 
Tuhan pengangi hatiku 
Biar aku tak jadi melanggar. 
Aku cinta pada dirinya...
 Cinta pada pandang pertama 
Sifat manusia ada padaku 
Aku bukan Tuhan 
 
Haram? Haramkah aku? 
Bila aku terus menantinya? 
Biar waktu berakhir 
Bumi dan langit berantakan. 
Aku tetap ingin dirinya. 
Tak mungkin aku berdusta 
Hanya Tuhan yang bisa jadikan 
Yang tak mungkin menjadi mungkin. 
 
Aku hanya ingin cinta yang halal 
Di mata dunia juga akhirat 
Biar aku sepi aku hampa aku basi 
Tuhan sayang aku... 
Aku hanya ingin cinta yang halal 
Dengan dia tentu atas izinNYA 
Ketika cinta bertasbih 
Tuhan beri aku cinta 
Ku menanti cinta....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...