Thursday, October 6, 2011

"4 Jenis Mannusia"


Alhamdulillah,

Kita masih diberi taufiq dan hidayah daripada Allah, masih boleh membaca dan memberi nasihat. sabda Rasulullah s.a.w "sampaikanlah dariku walaupun satu ayat". InsyaAllah kali ini saya ingin berkongsi sedikit informasi tentang 4 jenis manusia yang hidup diatas bumi ini.

Ulama, telah mengklasifikasikan manusia kepada 4 jenis iaitu;

1. Orang yang tahu, dan dia tahu bahawa dia tahu ; Itulah orang yang berilmu – ikutilah mereka.
2. Orang yang tahu, tetapi tidak tahu bahawa dia tahu ;Itulah orang yang lalai – berilah mereka peringatan.
3. Orang yang tidak tahu, dan dia tahu bahawa dia tidak tahu ; Itulah orang yang jahil – ajarlah mereka.
4. Orang yang tidak tahu, dan dia tidak tahu bahawa dia tidak tahu ; Itulah orang yang bodoh dan degil - Oleh itu, tinggalkan mereka.

Abu Darda' r.a berkata, "Jadilah kamu orang yang 'alim ataupun orang yang belajar ataupun orang yang mendengar ataupun orang yang mengasihi (ilmu pengetahuan dan ahlinya). Dan janganlah kamu menjadi orang yang kelima, nescaya kamu akan binasa".

Untuk menjadi cerdik pandai ada 3 anak tangga yang perlu didaki terlebih dulu.

1. Sukakan ilmu pengetahuan.

Pertama, sikap kita terhadap ilmu. Kita mestilah sukakan ilmu pengetahuan walaupun tak berkesempatan untuk betul-betul mempelajari dan menguasainya. Kita pun mengasihi orang yang terlibat dalam kitaran ilmu iaitu orang alim, para pelajar dan orang yang mendengar kuliah-kuliah.

2. Mendekatkan diri dengan ilmu pengetahuan.

Kedua, jika ada sedikit peluang, kita berusaha berjinak-jinak dengan ilmu pengetahuan dengan cara mendengar, membaca atau bertanya. Bergaul dengan ahli ilmu pun boleh mendekatakan kita kepada gerbang ilmu pengetahuan.

3. Belajar ilmu pengetahuan daripada orang alim.

Ketiga, kita benar-benar ada peluang untuk belajar atau kita benar-benar tertarik ingin belajar. Kita akan gunakan sebahagian masa kita untuk belajar, sedikit harta kita untuk belanja belajar dan kecerdikan kita untuk menyelami rahsia ilmu pengetahuan. Dan tentulah belajar dengan ahli ilmu pengetahuan iaitu para ulama', cendikiawan dan cerdik pandai dan mendengar nasihat mereka.
Selepas satu jangka masa, dengan kesabaran dan ketekunan yang tinggi, kita akan menjadi golongan cerdik pandai.

Orang yang tidak sukakan ilmu pengetahuan atau bermusuh dengan kitaran ilmu pengetahuan adalah golongan kelima. Bukan saja mereka tidak akan menjadi alim, bahkan mereka juga akan binasa kerana memusuhi ilmu pengetahuan dan ahlinya.

Dengan kata lain, mereka sukakan kejahilan dan berbangga dengan kejahilan tersebut. Kalau kita hanya ada banyak ilmu tentang kehidupan dunia semata-mata, kita akan rugi di negeri akhirat serugi-ruginya. Kalau kita ada ilmu akhirat sema-mata, tanpa ada ilmu langsung tentang kehidupan di dunia, kita akan mudah ditipu orang dan sukar mencari bekalan kehidupan untuk dijadikan bekal perjalanan ke negeri akhirat.

Jadi kita kena ada ilmu dunia dan ilmu akhirat, barulah kita tidak binasa.

Semoga Allah menjadikan kita dikalangan orang-orang sentiasa beristiqamah dijalanNya dan menjadi pembela agamaNya. Amin.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...