Monday, May 23, 2011

"Jangan Abaikan Nafkah Isteri (siri 1)"



Mengenang kembali peristiwa di Arafah, pada tanggal 9 Dzulhijjah tahun 10 Hijrah iaitu sebelum kewafatan Rasulullah SAW salah satu wasiat baginda yang disampaikan melalui khutbah Wida’ kepada sekalian umat Islam, iaitu agar kita mengawasi dan memelihara kaum wanita sebagai satu amanah. Tugas dan tanggungjawab ini, ditujukan khusus kepada kaum lelaki yang berperanan sebagai suami di dalam sesebuah rumahtangga. 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Takutlah kamu kepada Allah dalam urusan wanita, kerana sesungguhnya kamu telah mengambil mereka dengan amanah Allah.” (Muslim)

Asas kejadian kaum lelaki, dikurniakan oleh Allah dengan kekuatan fizikal, mempunyai pemikiran yang luas dan beberapa kelebihan lain. Sebaliknya kaum wanita diciptakan dengan sifat yang lemah lembut, penyayang dan kurang agresif. Mereka lebih banyak dipengaruhi oleh emosi. Oleh itu sewajarnya kaum lelaki diberi tugas dan tanggungjawab memikul amanah menjadi ketua atau pemimpin yang mengawal serta memberi perlindungan kepada kaum wanita.

Firman Allah SWT maksudnya: 

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum wanita, kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang perempuan, dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka.” (an-Nisa’: 34) 

Amanah yang dipertanggungjawabkan

Setiap pasangan harus berasa bertanggungjawab sepenuhnya menjalankan tugas masing-masing demi membangunkan keluarga. Bagi lelaki, sebagai ketua dalam negara, pemimpin dalam masyarakat, suami kepada isteri, bapa kepada anak-anak atau sebagainya. Mereka seharusnya memahami hak-hak serta tuntutan kaum wanita yang menjadi kewajipan bagi mereka memperjuangkannya serta membela nasib kaum wanita ini apabila mereka teraniaya. 

Sirah Rasulullah SAW telah membuktikan bahawa baginda merupakan pembela kaum wanita yang terulung. Baginda bukan sahaja membawa risalah Islam yang sempurna, bahkan telah berjaya membebaskan kaum wanita dari cengkaman adat jahiliah serta meletakkan kedudukan mereka ke suatu taraf yang begitu mulia.

Namun paling mengecewakan apabila terdapatnya kaum lelaki yang suka mengambil kesempatan di atas kelemahan wanita dan memandang rendah terhadap mereka serta menjadikan mereka mangsa mereka serta menjadikan mereka mangsa penganiayaan. Pandangan kaum wanita tidak begitu diambil perhatian menyebabkan hak atau kepentingan mereka terhakis. 

Keadaan ini terjadi disebabkan wujudnya perasaan ego yang tinggi di dalam diri lelaki dan tiadanya kesedaran dalam memikul amanah dan tanggungjawab terutamanya sebagai ketua rumahtangga. Banyak kes-kes seumpama ini berlaku dalam masyarakat, contohnya:

(i) Mengabaikan nafkah (perbelanjaan) isteri.
(ii) Tidak menyediakan tempat tinggal yang sepatutnya.
(iii) Bersikap kasar terhadap isteri.
(iv) Memberi tugas di luar kemampuan isteri.
(v) Menganiaya (mendera) isteri.
(vi) Melimpahkan tanggungjawab dirinya (seorang suami) ke bahu isteri.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...