Monday, May 23, 2011

"Jangan Abaikan Nafkah Isteri (siri 3)"



Sedekah Yang Diwajibkan

Sesungguhnya Islam menganggap bahawa pemberian nafkah suami kepada isteri itu sebagai satu sedekah di mana Rasulullah SAW menerangkan dalam sebuah hadis baginda bahawa sedekah yang paling baik adalah yang melebihi keperluan. Walhal sedekah ini pula elok didahulukan kepada orang yang dibawah tanggungan si suami itu sendiri yang membawa maksud kepada isteri masing-masing. 

Sa’ad bin Abu Waqqash berkata bahawa Rasulullah SAW telah  bersabda maksudnya, 

Setiap belanja yang engkau berikan demi mencari redha Allah, pasti diberikan pahala, sekalipun yang engkau suapkan ke dalam mulut isterimu.” (Bukhari & Muslim). Malahan nilai memberi nafkah kepada isteri dan anak itu sebenarnya adalah lebih utama daripada menyumbangkan harta demi perjuangan Islam di mana Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya:

“Satu dinar yang engkau belanjakan untuk perang di jalan Allah dan satu dinar yang engkau belanjakan untuk isterimu, yang paling besar pahalanya ialah apa yang engkau berikan kepada isterimu.” (Bukhari & Muslim)

Fenomena Masyarakat:

Jika ditinjau tentang kehidupan berumah tangga sekarang kebanyakan lelaki lebih gemar memilih perempuan yang berkerjaya sebagai isteri, bukan kerana dia tidak mampu, tetapi pada pandangan mereka jika isteri bekerja, bayaran nafkah termasuk wang belanja dapur dan perbelanjaan–perbelanjaan asas keluarga boleh dikongsi dalam erti kata lain boleh digunakan wang gaji isteri dan diharap boleh melepaskan banyak beban yang sepatutnya menjadi tanggungjawab dirinya. 

Dalam hal ini sekalipun masyarakat sudah menganggap perkara tersebut sebagai lumrah kehidupan berumah tangga iaitu berkongsi susah dan senang, namun sebenarnya ia adalah menjadi tanggungjawab suami di mana isteri hanya perlu membantu sekiranya suami didapati tidak mampu dan hal ini telah dijelaskan oleh Islam sebagai satu ibadah yang akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah S.W.T.

Hal ini telah disebutkan oleh Rasulullah SAW di mana terdapat sepasang suami isteri, Zainab dan Abdullah bin Mas’ud. Si suami tersebut tergolong dalam golongan fakir, sementara isterinya memiliki harta yang sungguh banyak yang ingin disedekahkan. Maka mereka pun datang menemui Rasulullah SAW dengan ditemani oleh seorang wanita yang juga mempunyai niat yang sama. Ketika sampai di hadapan rumah Rasulullah mereka bertemu Bilal. 

Zainab pun berkata, “Katakanlah kepada baginda bahawa ada dua orang perempuan yang akan bertanya apakah cukup kalau harta mereka diberikan kepada suami mereka dan kepada anak yatim di rumah-rumah mereka?  

Tolong jangan kau katakan siapa kami.” Bilal pun masuk dan menanyakan hal tersebut kepada Rasulullah SAW.
 
Terlebih dahulu baginda bertanya siapakah wanita itu. Bilal pun berkata, “Seorang wanita Ansar dan Zainab. “Zainab yang mana? Tanya Rasulullah.

 “Isteri Abdullah bin Mas’ud.” Jawab baginda: “Mereka berdua akan mendapatkan dua pahala. Satu pahala ibadah dan satu pahala sedekah.” (Bukhari & Muslim)

Namun kesilapan yang sering dibiarkan berlaku ialah tentang terdapatnya suami yang alpa dan sengaja mengambil kesempatan terhadap isterinya yang bekerja sehingga ada yang hidup dengan hasil pendapatan isteri semata-mata, tanpa melakukan apa-apa kerja. Sedangkan Islam telah mengingatkan bahawa dalam hal pendapatan isteri, adalah menjadi hak mutlaknya sendiri di mana dia berhak berbuat apa saja terhadap harta pencariannya dan suami tidak berhak untuk mengawal, mengatur, mengambil atau membelanjakan harta tersebut tanpa persetujuannya terlebih dahulu apalagi memaksanya memikul tanggungjawab menanggung keluarga.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...