Kewajipan Suami Memberi Nafkah (belanja):
Sesungguhnya kewajipan memenuhi keperluan nafkah terhadap isteri tidak hanya terhenti setakat nafkah batin semata-mata tetapi juga nafkah zahir termasuk memberi belanja dan keperluan zahir kepada isteri. Perkara ini telah ditetapkan oleh syarak sebagaimana firman Allah SWT yang maksudnya:
“Dan kewajipan suami memberi makanan dan pakaian kepada isteri dengan cara yang baik.” (al-Baqarah: 233)
Takrif nafkah harta (belanja) adalah suatu bahagian daripada harta yang dibelanjakan kepada orang-orang yang dipertanggungjawabkan kepada suami terhadap isterinya. Manakala yang dikatakan harta itu pula mestilah daripada sumber yang halal, iaitu bukan hak anak yatim atau bukan hak orang lain yang disimpan serta ia bukan dari usaha mencuri, rasuah, riba dan sebagainya. Maka harta yang dijadikan nafkah untuk perbelanjaan isteri dan anak-anak mestilah harta yang diperolehi dari jalan yang halal. Harta yang haram tidak boleh dijadikan nafkah.
Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya:
“Setiap daging yang tumbuh dari sesuatu yang haram, nerakalah yang lebih layak baginya.”
Hak Isteri Tanggungjawab Suami
Salah satu daripada hikmah mengapa beban nafkah itu terpikul di bahu suami adalah disebabkan kelebihan lelaki dalam penciptaannya dari segi kekuatan fizikal dan akal fikirannya yang disifatkan sebagai mampu untuk bekerja keras mencari nafkah, memberi pelindungan dan mempertahankan maruah keluarga di mana tidak ada kewajiban bagi isteri untuk mencari nafkah.
Tetapi ini bukanlah bermaksud bahawa Islam telah menggambarkan wanita sebagai orang yang lemah dan hanya membebani lelaki tetapi ia adalah penghormatan Islam kepada wanita sehubungan dengan tugas mereka yang amat kompleks di rumah dalam menguruskan hal anak-anak dan keluarganya.
Oleh itu memberi nafkah ini adalah wajib hukumnya ke atas suami semenjak mula berlakunya pernikahan, meskipun si isteri itu merupakan seorang yang kaya di mana perkahwinan itu sekali-kali tidak akan mengubah kedudukannya bahkan dia tetap mempunyai hak-hak peribadi yang tidak boleh diganggu walaupun oleh suami.
Sedangkan suami tetap bertanggungjawab memberikan nafkah kepada isterinya itu yang merangkumi penyediaan keperluan asas iaitu makanan, pakaian, tempat tinggal yang selesa di samping memberikan wang perbelanjaan untuk menguruskan keperluan diri, anak-anak dan rumah tangga.
Ini adalah berdasarkan kepada keadaan dan kemampuan si suami tersebut dimana isteri yang baik tidak akan ‘merengek-rengek’ meminta sesuatu yang tidak mampu dibeli atau disediakan oleh suaminya sebagaimana yang tersebut didalam al-Quran yang maksudnya:
“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekara kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.” (at-Thalaq: 6-7)
0 comments:
Post a Comment