Kelayakan Isteri Mendapat Nafkah:
Isteri yang layak mendapat nafkah mestilah isteri yang sah atau isteri dalam ‘iddah raj’i atau ‘iddah yang boleh dirujuk kembali, ertinya ialah ‘iddah dari talak satu atau dari talak dua di mana ‘iddah talak tiga tidak berhak diberi nafkah kerana ia adalah talak yang tidak boleh dirujuk kembali.
Oleh itu seandainya isteri tersebut tidak mendapat nafkah yang adil dan mencukupi daripada suami atau dia dikasari oleh suami, maka dia boleh mengemukakan tuntutan atau saman di Mahkamah Syariah kecuali seseorang isteri itu nusyuz (derhaka) kepada suaminya, curang dan sebagainya atau tamat tempoh iddah maka dia tidak berhak untuk mendapat nafkah.
Contoh Pengabaian Nafkah:
Terdapat sebilangan suami yang mengabaikan tanggungjawab kerana:
i) Mempunyai isteri yang berpendapatan lebih atau sama dengannya dan suami tersebut menganggap bahawa sudah mencukupi untuk isteri menanggung sendiri perbelanjaan rumah tangga dan dirinya.
ii) Bertujuan untuk mendidik isteri agar tidak menjadi boros.
Menuntut Hak apabila isteri menyedari kesilapan yang telah dilakukan oleh suaminya maka si isteri hendaklah:
1. Menasihati suami secara lemah-lembut dan bersopan tentang tanggungjawabnya atas dasar tidak mahu menderhaka kepadanya.
2. Mencari orang ketiga yang boleh dipercayai dan dihormati untuk menyedarkan kesalahan suami.
3. Merujuk kepada mahkamah syariah.
Begitupun Islam mengharuskan si isteri mengambil haknya meskipun tanpa pengetahuan suami (sekiranya keadaan sudah terdesak) kerana pernah diriwayatkan oleh Aisyah r.a. bahawa Abu Sufyan iaitu seorang sahabat Rasulullah SAW yang cukup kaya, bersifat terlalu kedekut dalam memberikan nafkah (belanja) kepada isterinya sehingga isterinya nekad mencuri wang suaminya.
Hindun, isteri Abu Sufyan itu mengkhabarkan halnya ini kepada Rasulullah SAW. “Sungguh Abu Sufyan adalah orang yang kikir (kedekut). Ia tidak memberiku belanja yang mencukupi bagi diriku dan anaknya, sehingga aku terpaksa mengambil hartanya tanpa pengetahuannya. “
Rasululah menjawab,
“Ambillah sebanyak mana yang mencukupi dirimu dan anakmu dengan wajar.” (Bukhari dan Muslim)
Kesimpulan
Sebuah hadis mengatakan yang di antara maksudnya:
“Rasulullah SAW bersabda… seorang lelaki adalah pemimpin atas keluarganya. Dia akan ditanya tentang kepimpinannya…” (Muslim).
Maka di sini seorang suami akan diminta bertanggung jawab tentang ahli keluarga yang di bawah tanggungannya termasuklah urusan pemberian nafkah. Oleh itu, sebagai ketua keluarga, sama ada isteri meminta atau tidak, memberi nafkah tetap menjadi tanggungjawab seorang suami kerana sesungguhnya Rasulullah SAW amat membenci umatnya yang bersifat bakhil terutama kepada pasangan yang telah melahirkan zuriatnya malah sifat bakhil ini juga adalah termasuk bagi orang yang tidak menggunakan tenaganya untuk berusaha mencari nafkah untuk diri dan keluarganya. Sebaliknya mengharap isteri bekerja untuk menyara kehidupan rumah tangga mereka.
Golongan ini akan dibalas dengan berbagai-bagai ancaman di akhirat kelak di mana baginda ada bersabda dalam sebuah hadisnya bahawa orang bakhil itu jauh daripada Allah, jauh daripada syurga, dan pergaulan manusia, sebaliknya dekat dengan api neraka.
Manakala orang yang dermawan itu dekat kepada Allah, dekat kepada syurga, dekat dengan manusia dan jauh dari api neraka. Maka sewajarnya seorang suami yang benar-benar bertanggungjawab pasti akan dapat melahirkan suasana damai dan harmoni dalam rumah tangga. Tidak akan berlaku masalah ketidakadilan, penganiayaan dan sebagainya
0 comments:
Post a Comment